PARIT SULONG, 4 MAC – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap rakyat Johor khususnya pengundi yang akan membuat pilihan pada 12 Mac nanti tidak mensia-siakan peluang yang ada dan sama sekali tidak memilih parti yang hanya sekadar mahu mengalahkan BN semata-mata.
Ini kerana katanya peluang yang ada itu perlu digunakan sebaik mungkin untuk sebuah parti yang boleh membentuk kerajaan dengan stabil berpaksikan lima teras menerusi tawaran Ikhtiar BN Johor.
“Harapkan pengundi di Johor ini jangan sesekali mempersiakan undi masing-masing dengan mengundi parti yang belum tentu pertamanya boleh membentuk kerajaan yang stabil, keduanya yang masih lagi belum boleh menentukan siapa calon menteri besar mereka dan ketiga kononnya akan bermuafakat sesama sendiri selepas keputusan pada 12 Mac nanti.
“Cukuplah sekali kita cuba dan melakukan sedikit sebanyak pengalaman mengundi kepada parti-parti yang matlamatnya hanya satu mahu mengalahkan BN. Itu sahaja.
“Kalau itu matlamatnya mereka tidak jujur kepada masyarakat dan rakyat berbanding BN. Ya…kita tahu kita pernah melakukan kesilapan dan pengajaran besar kepada kita 22 bulan itu adalah satu peringatan bahawa kuasa ini harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk membela dan berkhidmat kepada rakyat dan sebab itulah kami di peringkat BN menampilkan cadangan calon Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad dipersembah perkenankan kepada Sultan Johor sekiranya kita berjaya membentuk kerajaan kelak,” katanya kepada UMNO-Online, di sini.
Kata beliau lagi, Hasni adalah susuk tubuh yang tenang dan amat mudah mesra serta terbukti walaupun dalam jangka masa pendek mampu untuk mentadbir negeri dengan baik.
“Insya-Allah kita mengharapkan pengundi dapat mengundi BN yang kita boleh memberikan dan menawarkan kestabilan masa depan buat negeri dan bangsa Johor,” ujarnya.
Terdahulu beliau mengadakan walkabout bersama calon BN DUN Semerah, Mohd Farid Mohd Khaled di Pusat Daerah Mengundi Maimon serta mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan bersama belia setempat.
Dalam perkembangan lain, Asyraf yang juga Ketua Pemuda UMNO seterusnya berkata baki kempen yang berbaki beberapa hari akan digunakan sebaik mungkin dalam usaha membantu kemenangan calon BN.
“Kita konsisten dan gerak kerja Pemuda ini sebelum penamaan calon lagi dan kali ini kita lihat semangat dan motivasinya lebih hebat lagi.
“Dan diharapkan dalam tempoh kempen berbaki tidak kurang daripada 10 hari sahaja lagi kita minta semua jentera Pemuda untuk memfokuskan kempen bagi memastikan kemenangan calon-calon BN pada 12 Mac nanti,” tambahnya.