KOTA TINGGI, 5 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpandangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah peluang terbaik untuk negeri ini mencapai kestabilan politik yang berupaya membawa kembali kegemilangan ekonomi.
Beliau yang juga Perdana Menteri berkata situasi tersebut itu juga penting bagi memastikan segala agenda kemajuan yang direncana dapat dilaksanakan dengan cemerlang sekaligus memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.
“Kalau politik tidak kukuh ianya memberi kesan kepada ekonomi oleh itu jika mahukan ekonomi stabil pastikan politik stabil.
“Jadi pastikan kerajaan negeri yang bakal dibentuk ini kukuh bagi memastikan segala perancangan termasuk perumahan untuk orang muda dan sebagainya di Johor ini dapat diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Jentera BN Zon Timur yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad, ketua-ketua bahagian serta ahli jawatankuasa.
Jelas Ismail lagi, sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat pada 12 Mac kelak beliau akan bersama-sama Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad untuk membawa Johor ini ke satu tahap terbaik seperti yang pernah dicapai sebelum ini.
Katanya, kerjasama di antara kerajaan Persekutuan dan Negeri adalah penting bagi menyelaras segala agenda yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
“Kita akan sentiasa membantu membangunkan negeri Johor alangkah baiknya saya sebagai UMNO menjadi Perdana Menteri dan rakan-rakan di Johor dipimpin oleh Hasni dapat menguasai DUN jadi barulah mudah untuk saya uruskan negara manakala beliau di negeri,” ujar beliau.
Untuk rekod pilihan raya ini diadakan selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas, Datuk Seri Osman Sapian pada 21 Disember lalu ianya sekaligus menyebabkan kedudukan kerajaan negeri Johor dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN. – UMNO Online