JOHOR BAHRU, 7 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehingga selepas separuh tempoh berkempen, kesemua parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kecuali Barisan Nasional (BN) masih gagal menyatakan dengan jelas kepada masyarakat siapakah calon menteri besar (MB) mereka.
Dalam hal ini ujarnya, Perikatan Nasional (PN) memilih untuk sekadar mengangkat pemimpin nasional sebagai ‘poster boy’ akibat ketiadaan calon yang layak di peringkat negeri.
“Saya harap, siapa pun calon MB Johor, rakyat Johor akan memberi kepercayaan kepada Datuk Hasni Mohammad sebagai MB Johor. Khususnya susulan kejayaan beliau membetulkan kembali kedudukan Johor selepas kelembapan dan kemerosotan semasa zaman dua MB dari PPBM.
“Malah, Datuk Hasni akan mampu menjadi MB yang baik kerana disokong kuat oleh BN dan tidak berlaku perbalahan dalaman parti.
“Pendek kata, Johor mesti ditadbir oleh MB terbaik, dan BN meletakkan yang terbaik demi kestabilan masa depan Johor,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya berkaitan hal terbabit.
Ujarnya, Pakatan Harapan (PH) seperti sudah berputus asa dan sedar bahawa mereka akan mencatatkan prestasi buruk kali ini.
“Jadi, tidak guna untuk bertelagah dan merebut jawatan menteri besar. Tambahan pula Parti Amanah Negara (PAN) sedar bahawa sebarang calon MB yang mahu mereka angkat haruslah dipersetujui dan diredai Dap, dan ini bukan sesuatu yang mudah dicapai.
“MUDA, Warisan, PBM dan serpihan-serpihan politik lain pula sememangnya dari awal sudah jelas bahawa mereka hadir sekadar meramai dan memeriah temasya demokrasi ini.”
Malangnya, kata Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang saat ramai yang beranggapan bahawa PKR akan membuat ‘reformasi’ dan membawa pendekatan baharu dan segar, wujud desas-desus bahawa parti tersebut berkemungkinan besar akan mengulangi kesilapan dalam PRN Melaka, iaitu melantik dan mengangkat ‘katak politik’ sebagai calon MB.
Ujarnya, jika ini benar, bermakna masa depan Johor mahu disandarkan Dr. Maszlee Malik iaitu:
(a) Bekas menteri pendidikan yang gagal dan telah dipecat oleh Tun Mahathir sendiri semasa dalam PPBM di bawah PH. Malah, beliau adalah orang terawal yang melanggar janji manis PH untuk membebaskan universiti dari pengaruh politik dengan melantik dirinya sendiri sebagai Presiden UIAM serta mengangkat ramai kronik politik ke dalam institusi pendidikan.
(b) Katak politik yang melompat keluar dari PPBM, menjadi wakil rakyat bebas, kemudian muncul antara pendukung awal PEJUANG, dan kemudiannya menarik diri dari PEJUANG pada 2 November 2020 dan kemudiannya menyertai pula PKR.
Dilaporkan, Hasni sah menjadi Menteri Besar Johor yang ke-18 pada 28 Feb 2020 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor. Beliau menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal dari PPBM, yang dilantik sebagai MB ke-17 pada 14 April, 2019.
Ini adalah pelantikan MB Johor yang ketiga dalam tempoh kurang tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 9 Mei 2018.
Untuk rekod, pengundi PRN Johor adalah seramai 2,597,742 orang yang terdiri daripada 2,574,835 pengundi biasa; 10,955 anggota tentera dan pasangan; 11,576 anggota polis dan pasangan termasuk Polis Pasukan Gerakan Am (PGA); dan 376 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara. – UMNO Online