JOHOR BAHRU, 10 Mac – Rakyat khususnya para pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diingatkan agar tidak lagi percaya terhadap parti-parti politik yang bertanding hasil serpihan daripada Pakatan Harapan (PH) malah terus tekad untuk memilih Barisan Nasional (BN).
Demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi Program Pentas Anak Muda PRN Johor yang disiarkan secara langsung malam tadi.
Katanya, pelbagai parti yang bertanding dalam PRN kali ini melibatkan PKR, Pejuang, Muda malah dalam Perikatan Nasional (PN) pun adalah hasil parti-parti PH yang berpecah-belah dan dulunya di bawah PH iaitu PPBM.
“Dulu matlamat mereka adalah untuk menumbangkan BN dan hari ini pun masih matlamat sama iaitu asal bukan BN. Namun jangan lupa bahawa fobia rakyat terhadap PH masih sama kerana mereka ini indah khabar dari rupa, bulan dan bintang tapi bulan tak jatuh ke riba, yang ada hancing belaka.
“Kalau tengok kempen mereka ini semuanya menyerang BN tapi bila ditanya mereka apa yang ditawarkan untuk rakyat malah siapa menteri besar (MB) mereka pun mereka tak ada.
“Maka porak-perandalah negeri ini jika memilih mereka sebagaimana PRU-14 yang kononnya nak tawarkan pentadbiran terbaik untuk rakyat, nak gantikan BN untuk jamin kesejahteraan negara tapi rupanya semuanya hancur-lebur kerana mereka saling berbalah sesama sendiri dan mahukan kuasa.”
Soal Asyraf Wajdi lagi, adakah kita nak serahkan masa depan Negeri Johor kepada mereka sedemikian?
“Kita ini dalam BN, tawarkan yang terbaik, malah sepanjang kempen ini BN tak ada nak serang sesiapa kerana kita nak fokus untuk Ikhtiar BN dan menerangkan tentang apa yang kita akan lakukan jika diberikan mandat membentuk kerajaan.
“Ini berbeza dengan mereka yang saban malam dalam kempen hanya meratib ‘kluster mahkamah’, perompak, penipu dan ini cuba ditanam dalam kalangan rakyat sedangkan hakikatnya yang mereka sebutkan ini tidak ada dalam mana-mana calon untuk PRN ini,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu Asyraf menegaskan bahawa rakyat harus terus kekal tekad memilih BN bagi menjamin kestabilan demi masa depan.
Terdahulu, berucap dalam program yang sama ialah Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan; Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong dan Ketua Pemuda MIC Johor, Satheesh Rameswaran . – UMNO Online