LEDANG, 10 Mac – Dalam suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan melabuhkan tirainya malam esok, tidak mustahil pelbagai tohmahan akan dilontarkan kepada Barisan Nasional (BN) dalam usaha menghakis sokongan rakyat kepada parti berkenaan.
Hakikat itu dilontarkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berharap perkara berkenaan tidak akan menggangu kelancaran kempen saat-saat akhir oleh jentera BN.
Menurut beliau pimpinan tertinggi parti yang dijadikan sasaran adalah perkara biasa namun apa yang penting komitmen jentera berterusan untuk membantu memberi keyakinan berterusan kepada rakyat.
“Dalam keadaan kempen tinggal sehari saya hampir-hampir pasti balingan tohmah dan fitnah akan berada di peringkat maksimum..tidak terkecuali saya. Saya minta pengundi di Johor ini agar tidak mudah terpengaruh dan ini adalah lumrah politik.
“Terlalu banyak isu dipalingkan kepada saya…saya bukannya bertanding di Johor…apa nak risau. Saya anak jantan saya jawab..kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai.
“Kita hadapi dan jangan risau…kalau setakah fitnah dan tohmah asal telinga tidak hilang jangan takut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada kempen PRN Johor di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sawah Ring, di sini, hari ini.
Turut serta calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Sahrihan Jani dan jentera serta penduduk setempat.
Dalam pada itu beliau berharap pengundi DUN Gambir dapat membuat keputusan yang terbaik pada hari pembuangan undi nanti dengan memilih calon BN, Shahrihan Jani.
“Dulu di Gambir empat kali kita berikan kepada parti komponen. Orang Gambir yang minta kerusi diberikan kepada UMNO untuk bertanding atas tiket BN dan kita gantikan kawasan lain yang ditandingi MIC.
“Ini adalah suasana paling baik kepada pengundi untuk beri sokongan kepada Sahrihan…kita tidak mahu kerajaan gagal yang akan memberi kesusahan kepada rakyat Johor,” tambahnya.
Sementara itu ketika berucap di Bilik Gerakan PDM Bukit Kangkar Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO percaya dan penuh yakin Datuk Hasni Mohammad mampu merealisasikan apa yang ditawarkan oleh BN Johor.
“Kita mahu kestabilan supaya kerajaan ini tidak diganggu-gugat lagi…kestabilan ini akan gamit pelabur daripada luar…kestabilan akan bantu peniaga kecil…kestabilan ini akan bantu orang muda Johor dan inilah keprihatinan Datuk Hasni dan BN Johor,” tambahnya.- UMNO Online