JOHOR BAHRU, 11 Mac – Rakyat diminta untuk memilih Barisan Nasional (BN) dalam hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung esok bagi menoktahkan retorik dan polemik politik yang tidak berkesudahan.
Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tolaklah janji-janji palsu dan mimpi-mimpi yang penuh fantasi.
“Tarikh 12 Mac, hari Sabtu adalah hari pengundian PRN Johor. Pastikan turun mengundi kerana ini adalah peluang terbaik untuk rakyat memberikan perubahan kepada keadaan yang lebih baik. Pastikan membuat pilihan yang tepat iaitu mengundi BN yang telah menawarkan Ikhtiar BN dengan ‘Kestabilan Masa Depan’.
“Insya-Allah, saya amat yakin dan percaya sekiranya BN diberikan mandat penuh maka janji-janji dalam Ikhtiar BN akan segera dilaksana agar manfaatnya pun segera rakyat rasai.
“Inilah masa terbaik menoktahkan retorik dan polemik politik yang tak berkesudahan,” katanya menerusi laman facebooknya menjelang hari pengundian esok.
Gesa beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, rakyat perlu kembalikan pentadbiran BN untuk masa depan lebih baik.
“Ayuhlah rakyat Johor, kembalikanlah pentadbiran BN sebagai kerajaan agar masa depan yang lebih baik dapat dicapai sebagaimana kestabilan jadi fokus utama. Selamat mengundi,” katanya lagi.
Untuk rekod, pengundi PRN Johor adalah seramai 2,597,742 orang yang terdiri daripada 2,574,835 pengundi biasa; 10,955 anggota tentera dan pasangan; 11,576 anggota polis dan pasangan termasuk Polis Pasukan Gerakan Am (PGA); dan 376 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.
PRN Johor ini melibatkan pertembungan 239 calon di 56 kerusi DUN. – UMNO Online