KUALA LUMPUR, 16 Mac – Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan menyeru semua pembahas menggunakan ruang perbahasan di dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini ke arah pemantapan dan kesepakatan parti.
“Gunakan ruang yang ada untuk kita bersama berbahas ke arah pemantapan dalaman parti di samping mencari kesepakatan seluruh kepimpinan.
“Kita perjelas apa yang perlu dan kemudian perkemaskan saf kita sebelum kita sepasukan mara sederap ke medan ujian penamat penggal ini, iaitu PRU15 (Pilihan Raya Umum 15),” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia mengucapkan selamat datang dan selamat bersidang kepada para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2021.
“Semoga Allah Rahmati perjuangan kita demi Agama, Bangsa dan Tanah Air yang tercinta,” katanya lagi.
Perhimpunan Agung UMNO 2021 bermula pada hari ini hingga Sabtu, 19 Mac.
Malam ini, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan akan menyempurnakan majlis perasmian serentak Perhimpunan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO bertempat di Dewan Merdeka.
Menyusul keesokannya, ketiga-tiga sayap UMNO akan melaksanakan persidangannya secara berasingan dengan Wanita di Dewan Merdeka, Pemuda di Dewan Tun Razak 4, Pemuda di Dewan Merdeka sementara Puteri di Dewan Tun Dr Ismail dan Dewan Tun Hussein Onn.
Perhimpunan ini kemudian diteruskan dengan ucapan dasar dan perasmian oleh Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat, dan diteruskan hingga Sabtu sebelum menutup tirai dengan penggulungan pemimpin parti. – UMNO ONLINE