KUALA LUMPUR, 23 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan parti ini akan memberikan tawaran serta pelan yang unik, sesuai dan menjawab keperluan masyarakat di peringkat Persekutuan dan negeri.
Katanya, tawaran itu bukan sahaja mesti bersifat khusus dan segar tetapi menyeluruh dan saling melengkapi.
“UMNO memahami bahawa keperluan dan fokus setiap kerajaan di peringkat negeri dan pusat adalah berbeza. Setiap satunya mempunyai hala tuju dan cabaran tersendiri.
“Atas dasar itulah, angka kedua dalam Projek 123 yang saya umumkan semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini merujuk kepada dua peringkat kerajaan yang ingin dikuasai UMNO – kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
“Untuk itu, UMNO mesti menjadi parti yang memahami isu setempat. Yang jelas dan faham akan keperluan serta suara hati yang harus menjadi fokus kerajaan negeri. Pada masa yang sama, UMNO harus tampil sebagai parti yang mempunyai idea besar kepada negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga berkata, menguasai kedua-dua peringkat adalah penting bagi meneruskan agenda pembangunan serta pengurusan negara dan negeri.
Sekiranya tidak, katanya segala perancangan pembangunan yang dirangka tidak akan berjalan dengan lancar dan senada.
“UMNO memahami keunikan prinsip dan hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan di bawah prinsip federalisme.
“Perlembagaan Persekutuan sendiri yang mencirikan pelbagai aspek dan keunikan antara dua peringkat kerajaan termasuk Senarai Bersama, Senarai Negeri serta Senarai Persekutuan.
“Saya menyeru UMNO, dari segenap kepimpinan dan seluruh pendukungnya untuk bersama-sama membulatkan tekad dan mencanai pemikiran terbaik agar kita dapat menjayakan Projek 123 ini. Khususnya dalam menguasai kerajaan negeri dan persekutuan,” ujar beliau.
Ahmad Zahid menerusi hantaran sebelumnya mengulas mengenai aspek pertama iaitu itizam dan matlamat UMNO / Barisan Nasional (BN) untuk kembali menjadi kerajaan dan akan menyambung penerangannya untuk aspek ketiga pada esok.
Terdahulu, beliau ketika sesi penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, Sabtu lalu antara lain menyebut Projek 123 yang menggariskan tiga aspek secara tersiratnya mempunyai tiga perkara penting yang perlu dicapai secara bersama. – UMNO Online