HARGA minyak mentah dunia telah melonjak mencecah AS$130 setong pada awal bulan Mac 2022. Krisis geopolitik Russia Ukraine dan peningkatan sekatan ekonomi ke atas Russia telah menyumbang kepada keadaan ini.
Permintaan juga meningkat kerana pemulihan ekonomi global selari pembukaan sektor ekonomi dunia pasca pandemik.
Berikutan trend peningkatan ini, kerajaan akan terpaksa menampung subsidi minyak yang semakin membebankan.
Adalah di anggarkan jumlah subsidi produk petroleum bagi keseluruhan tahun 2022 dijangka mencecah sehingga RM28 bilion jika harga minyak mentah dunia kekal melebihi AS$100 setong, berbanding hanya RM11 bilion bagi tahun 2021.
Ini kerana Kerajaan terus mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat sehingga mencecah kira-kira RM3.70 seliter dan RM4.00 seliter masing-masing.
Peningkatan ketara kos subsidi bagi produk petroleum akan memberi tekanan besar kepada kedudukan fiskal kerajaan. Ia akan menjejaskan perbelanjaan pembangunan secara ketara.
Ini akhirnya akan memaksa Kerajaan untuk menyemak semula subsidi minyak.
Justeru itu, sangatlah penting untuk Kerajaan mengambil kira beberapa faktor jika subsidi ini akan disemak.
Pertama, subsidi minyak secara pukal sebenarnya lebih menguntungkan golongan yang berpendapatan tinggi. Mereka lazimnya memaparkan permintaan agregat terhadap penggunaan bahan api yang lebih tinggi.
Maka ketirisan subsidi mesti menjadi keutamaan yang mesti diatasi. Kerajaan wajar mempertimbangkan pengenalan subsidi minyak secara bersasar, terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah.
Kedua, segala tindakan yang ingin diambil untuk mengatasi isu subsidi tinggi ini mesti berupaya mengelak unintended consequences seperti lonjakan inflasi.
Mungkin ramai yang masih ingat lagi harga RON97 pernah dinaikkan sebanyak 78 sen pada 5 Jun 2008. Kadar inflasi pada ketika itu melonjak daripada 3.8 peratus pada bulan Mei 2008 kepada 7.7 peratus , 8.5 peratus dan 8.5 peratus pada bulan Jun, Julai dan
Ogos 2008. Inflasi yang tertinggi dalam masa 27 tahun pada ketika itu telah mengurangkan kuasa beli rakyat.
Ketiga, strategi dan roadmap komprehensif bagaimana subsidi minyak ini akan dikurangkan secara beransur-ansur mesti dilakukan dengan telus.
Rasionalnya perlu dikongsi dan justifikasi diterangkan dengan jelas supaya rakyat tidak terkejut tentang perlaksanaannya.
Ini kerana akhirnya, segala bentuk semakan semula subsidi mesti menepati sasaran, mengurangkan beban fiskal kerajaan dan tidak terlalu membebankan rakyat.
Kebanyakan sektor ekonomi masih berada pada peringkat awal pemulihan dan dijangka berkembang pesat selari pembukaan semula sempadan negara. Rasionalisasi subsidi yang tergesa-gesa mungkin akan menjejaskan trajektori pemulihan berterusan negara.
Jadi sangat lah wajar Kerajaan berhati-hati, tidak gopoh dan menyandarkan keputusan semakan subisidi ini melalui kajian dan strategi yang bersasar dan menyeluruh.
Datuk Seri Mohamad Hasan