KUALA LUMPUR, 1 April – Pendedahan Tun Dr Mahathir Mohammad hari ini yang mendakwa bekas perdana menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta sokongannya dalam usaha untuk menjadi perdana menteri sekali lagi menimbulkan perbualan di kalangan orang-orang politik.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut berkongsi mengenainya di Facebook beliau dengan menimbulkan beberapa persoalan yang cukup menarik untuk dikongsikan.
Kata beliau apakah jaminan negara akan stabil jika apa yang berlegar dan pelbagai desas-desus yang tersebar hari ini termasuklah kemungkinan penggabungan parti-parti tertentu dalam usaha mengalahkan Barisan Nasional (BN).
“Tun Mahathir dedahkan Tan Sri Muhyiddin, orang yang tikam belakang dia, kini merayu minta sokong agar dia dapat kembali jadi PM ke-10. Haji Hadi pula dikatakan akan bertemu juga Tun Mahathir.
“PKR pula terpecah kepada dua kem… Kem Anwar yang nak cadang untuk bina ‘khemah besar’ menggabungkan semua parti-parti untuk lawan BN, tapi Kem Rafizi tak setuju untuk bekerjasama dengan parti ‘pengkhianat’. PH (DAP + PAN) mahu tokoh baharu sebagai calon Perdana Menteri untuk lawan BN,” katanya.
Kata beliau lagi apa yang menimbulkan persoalan adalah apakah Pas bersedia kembali kepada ‘khemah besar’ yang didalamnya ada Dap, PKR dan parti serpihannya PAN?
“Apakah jaminan negara boleh stabil sekiranya sekali lagi diberikan peluang kepada parti-parti yang hanya bergabung untuk kalahkan BN bukan sangat demi rakyat? Ada juga pandangan akar umbi supaya Pas kembali ke landasan asal Muafakat Nasional bersama UMNO-BN. Apa pandangan semua,” ujarnya.
Hari ini, memetik laporan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan mendakwa Muhyiddin Yassin meminta sokongannya dalam usaha untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.
Bercakap dalam sidang media hari ini, Mahathir berkata dia tidak tahu mengapa Muhyiddin meminta sokongannya.
“Dia nak saya sokong dia dalam usaha untuk jadi perdana menteri sekali lagi,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengesahkan laporan bahawa Muhyiddin ada bertemunya baru-baru ini. – UMNO Online