KUALA LUMPUR, 3 April – Kerjasama strategik untuk menewaskan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kini sedang hangat diusahakan sesetengah pihak, kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Ini kerana ianya bukan benda baharu hendak menjatuhkan UMNO atas semangat Asal Bukan UMNO (ABU).
“Kita pernah lihat ia berlaku atas semangat Asal Bukan UMNO (ABU). Malah pernah berjaya menang semasa PRU ke -14.
“Tetapi apa berlaku selepas itu? Retak dari dalam. Sebab apa? Sebab sebuah Kerajaan yang terbentuk dan berniat semata-mata atas prinsip menafikan UMNO/BN, tidak akan berjaya untuk jangka masa lama. Pembuatan dasar akan celaru, persaingan, syak wasangka dan rasa tak puas hati sesama sendiri akan kian membuak.
“Sejarah telah membuktikan ABU bukan formula untuk Malaysia. Pakatan Harapan (PH) diwujudkan selepas jatuhnya Pakatan Rakyat (PR) kerana retaknya PR dari dalam selepas Pas keluar PR akibat tiadanya keharmonian ideologi dan matlamat selain ABU,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tambah Shahril, Pakatan Harapan pun sama terdapat perbalahan dalaman dan antara parti komponen kerana tidak ada agenda bersama selain ABU.
“Sejarah telah membuktikan pakatan sebegini, setelah tercapainya ABU, tidak ada lagi yang menyatukan.
“Berilah peluang kepada kestabilan semasa memilih nanti. Cukuplah sekali ABU… ayuh Malaysia kembali kepada BN,” tegasnya. – UMNO Online