KUALA LUMPUR, 7 April – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertindak segera ekoran laporan kenaikan harga barang dalam pasaran ketika ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian susulan laporan berita yang menyebut harga barang melonjak antaranya melibatkan tepung gandum, susu pekat dan cili padi termasuk ayam.
“KPDNHEP perlu segera bertindak kerana harga barang naik. Peniaga jangan ambil kesempatan RM10 ribu KWSP, sebab Ramadan, sebab penjawat awam dapat RM500, jangan,” tegasnya dalam ciapan menerusi laman twitternya, hari ini.
Katanya, sebagai pengguna harus lapor dan boikot mana-mana peniaga yang ambil kesempatan.
“Beli di kedai harga patut. Kuasa beli atau tidak di tangan kita,” katanya lagi. – UMNO Online