KUALA LUMPUR, 9 April – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa agar Menteri Kewangan tampil memberikan penjelasan berkaitan langkah Kumpulan Touch ‘n Go (TNG) yang menawarkan program pinjaman peribadi.
Tegas beliau sehingga kini tiada lagi penjelasan diberikan Menteri Kewangan ataupun pihak kerajaan tentang keperluan dan kewajaran program pinjaman peribadi ini dan maknanya terhadap perkembangan ekonomi negara.
“Kumpulan Touch ‘n Go (TNG) telah memperluaskan jaringan perkhidmatannya dengan menawarkan program pinjaman peribadi terbaharu yang kononnya bersifat inklusif dipanggil GOpinjam.
“Namun kadar faedahnya adalah tidak munasabah dan terlalu tinggi iaitu antara 8% hingga 36%. Kepatuhan kepada kawalselia Bank Negara bukan persoalannya di sini. Yang dipersoalkan ialah semua ini akan menjerat rakyat ke kancah keberhutangan yang parah dan berterusan.
“Kadar faedah program pinjaman peribadi GOpinjam adalah tertinggi dalam pasaran kredit dan ditawarkan dengan kadar keperolehan yang sangat mudah. Skim ini disasarkan kepada golongan B40 yang keadaan kewangannya sudah tertekan. Ia saling tidak tumpah seperti skim pinjaman berlesen “ah-long” yang menjerat di leher peminjam dan mustahil untuk dilangsaikan bagi mereka yang sudah mengalami kesulitan kewangan,” katanya memerusi satu kenyataan yang disiarkan menerusi Facebook.
Kata beliau lagi, Bank Negara Malaysia (BNM) seharusnya menyekat model pinjaman kredit sebegini demi melindungi golongan B40 dan anak muda yang berisiko tinggi untuk terjerumus ke dalam kancah hutang peribadi yang sememangnya sudah sangat tinggi dalam Malaysia.
Tambahnya lagi, nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk akhir tahun 2021 adalah pada kadar 89%, antara yang tertinggi berbanding dengan ekonomi serantau.
“Ekonomi kewangan rumah tangga akan menjadi parah dengan timbunan hutang yang tinggi kadar faedahnya disamping pendapatan yang rendah. Akhirnya, ia akan memusnahkan kesejahteraan sesebuah keluarga.
“Menteri Kewangan mesti tampil dengan solusi keusahawanan untuk memberdaya rakyat berpendapatan rendah. Melancarkan skim Ah Long model canggih seperti GoPinjam adalah bertentangan dengan amanah dan aspirasi sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab,” ujarnya.- UMNO Online