KUALA LUMPUR, 28 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kesyukuran pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membantu segelintir rakyat yang berdepan bebanan kewangan.
Katanya, ini kerana pelbagai kisah tular di media sosial berkenaan pengorbanan mereka yang mengeluarkan wang simpanan tersebut untuk manfaat keluarga.
“Saya di Tanah Suci berasa tersentuh apabila dimaklumkan tentang kisah seorang anak muda di Tawau memberi semua wang pengeluaran khas KWSP kepada ibunya. Pemuda itu dikatakan mahu menghargai ibu yang membesarkannya walaupun menyedari wang RM10,000 tidaklah mampu menandingi segala jasa orang tuanya.
“Berasa terharu juga mendengar tentang betapa besar manfaat pengeluaran khas KWSP kepada sebuah keluarga yang hanya memiliki motosikal sebelum itu… wang berkenaan telah digunakan oleh mereka bagi membeli sebuah kereta Perodua Kancil untuk digunakan dalam urusan harian termasuk menghantar anak ke sekolah.
“Saya pasti dua cerita yang tular di media sosial tersebut cumalah cebisan daripada banyak lagi kisah-kisah keberuntungan kepada rakyat di sebalik pengeluaran khas wang KWSP… ya Allah aku bersyukur kerana pengeluaran khas wang simpanan KWSP tersebut ternyata memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, ternyata perjuangan parti dalam menuntut pengeluaran ini berbaloi kerana ia ternyata membantu rakyat yang terjejas pasca pandemik COVID-19.
“Maka tidaklah sia-sia segala desakan dan tekanan yang terpaksa dilakukan sebelum ini bagi memastikan pengeluaran khas itu jadi kenyataan.
“Justeru, kepada penerima yang lain gunakanlah wang KWSP tersebut untuk tujuan yang benar-benar bermanfaat buat diri dan keluarga.
“Juga manfaatkanlah sebaik-baiknya untuk ke jalan yang diredhai Allah. Semoga rezeki yang diperolehi itu lebih bermanfaat untuk kita dan yang memerlukan. Sesungguhnya tiadalah daya upaya manusia melainkan dengan pertolongan Allah S.W.T jua,” luah beliau.
Terdahulu, kerajaan pada pertengahan Mac membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban rakyat yang masih terkesan susulan pandemik COVID-19. – UMNO Online