KUALA LUMPUR, 10 Mei – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengimbas semula antara janji yang paling berjaya hingga mencetuskan kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu ialah penghapusan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Katanya, ruangan media sosial empat tahun lalu pada tarikh 9 Mei dipenuhi pelbagai reaksi anak-anak muda berkaitan hal terbabit.
“Antara janji PH yang paling berjaya mencetuskan gelombang besar kemenangan mereka adalah janji penghapusan hutang PTPTN, sehinggakan ruangan media sosial empat tahun lalu pada tarikh hari ini (semalam) dipenuhi dengan pelbagai reaksi di kalangan anak-anak muda yang begitu seronok menzahirkan kepuasan hati mereka tidak perlu lagi membayar balik hutang PTPTN,” katanya menerusi hantaran dalam laman facebooknya.
Ujarnya, ramai dikalangan ibu bapa termasuk jentera UMNO juga termakan.
“Masakan tidak ada antara anak-anak mereka bersungguh-sungguh memujuk rayu: ‘Abah dan mak bagilah undi sekali ini je pada PKR (PH). Bayangkan hutang PTPTN Kakak sahaja yang kena bayar RM35,500, Adik RM 28,000. Kalau PH menang jimat RM63,500!’” katanya dalam imbasan berkenaan.
Dilaporkan, menjelang PRU ke-14, PH mempengaruhi rakyat dengan menjanjikan untuk mulakan bayaran balik apabila ditangga gaji RM4 ribu sebulan, pendidikan percuma dan hapuskan sekatan imigresen namun malangnya apabila berkerajaan ianya tidak dilaksana. – UMNO Online