Selamat Hari UMNO: Perkukuh Perjuangan, Kembalikan Kesatuan

Alhamdulilllah, hari ini UMNO genap berusia 76 tahun. 11 Mei merupakan tarikh keramat tanda lahirnya UMNO sebagai sebuah parti politik. Penubuhan yang dibuat atas tekad demi agama, bangsa dan negara. Itulah yang utama dan patut terus disematkan serta dihayati oleh generasi muda.

UMNO bukan parti yang ditubuhkan kerana gilakan kuasa, bukan parti yang tegak sebab nakkan isi kantung diri atau kroni sendiri, juga bukan parti yang ditubuhkan oleh orang-orang yang melompat kerana tak dapat apa yang dimahukan.

Jika itu yang difikirkan berkaitan UMNO maka amat menyimpang kerana penubuhan UMNO berpaksikan jati diri, asas perjuangan dan kesatuan teguh yang relevan sepanjang zaman. Lantaran itulah barangkali maka mana-mana pihak yang cuba jadikan UMNO batu loncatan untuk kepentingan tertentu rebah dan gagal.

UMNO ini ada sejarah yang panjang. Kisah perjuangan bangsa yang menentang penjajah, mempelopori semangat nasionalisme, membentuk ketumbukan dari serata Tanah Melayu, menuntut kedaulatan tanah air dan mahukan Islam ditegakkan.

Semangat perjuangan UMNO membawa kepada pelbagai peristiwa – merdeka, keluar dari kemiskinan, angkat pendidikan jadi perkara utama dan memodenkan negara.
Sungguh, perjalanan 76 tahun usia UMNO ini terlalu banyak untuk disuratkan malah kita sebagai pewaris baharu perlulah sedar bahawa UMNO adalah warisan perjuangan yang perlu ditegakkan.

Cukuplah tarikh 9 Mei 2018 yang menyaksikan UMNO hilang kuasa. Natijahnya bukan hanya bangsa Melayu malah rakyat pelbagai peringkat tidak terbela, lebih teruk Islam dipersenda dan tanah air tercinta jadi caca marba.

Atas ulang tahun ke 76 UMNO ini, marilah kita tanamkan tekad untuk terus ‘Bersatu Bersetia Berkhidmat’ kembali perkukuh perjuangan dan kembalikan kesatuan demi agama, bangsa dan negara.

Selamat Hari UMNO

TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR
Bendahari UMNO