Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada semua perwakilan yang hadir ke Perhimpunan Agung UMNO Khas hari ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir dan Batin kepada semua.
Para perwakilan yang saya hormati,
2. Seperti kita sedia maklum, Perhimpunan Agung UMNO Khas pada hari ini adalah susulan kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU) bertarikh 19 Mac 2022 lalu yang telah meluluskan usul antaranya bersetuju Perlembagaan UMNO dipinda supaya pemilihan parti diadakan dalam tempoh 6 bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).
3. Maka Perhimpunan Agung UMNO Khas hari ini bertujuan membentangkan fasal-fasal terlibat yang akan dipinda selari dengan ketetapan PAU pada 19 Mac 2022.
4. Secara umumnya, pindaan melalui PAU Khas ini melibatkan hanya 3 fasal iaitu Fasal 10.16, Fasal 15.3 dan Fasal 18.2.
5. Dengan hanya melibatkan 3 fasal ini sahaja, ia bermakna pemilihan parti tetap diadakan 3 tahun sekali seperti yang terkandung dalam Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO. Sebaliknya peruntukan dan fasal baharu yang dipinda dan dimasukkan ini adalah fasal pengecualian kepada pemilihan 3 tahun sekali tersebut.
6. Fasal pertama yang dipinda adalah Fasal 10.16 yang sekarang ini memperuntukkan bahawa:
Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada lapan belas (18) bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.
7. Fasal ini akan dipinda untuk memberi kuasa dan pilihan kepada MKT untuk membuat satu lagi bentuk penangguhan kepada pemilihan parti iaitu penangguhan selama 6 bulan selepas sesuatu PRU itu diadakan.
8. Dalam erti kata lain, peruntukkan Fasal 10.16 yang sedia ada akan dipinda menjadi Fasal 10.16.1 dan akan berbunyi seperti berikut:
Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada lapan belas (18) bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan atau tidak lebih daripada enam (6) bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat), yang mana terkemudian.
9. Maka, selain daripada tempoh penangguhan selama 18 bulan yang dibenarkan sebelum ini, MKT selepas ini turut berhak untuk menangguhkan pemilihan parti kepada suatu tempoh tidak melebihi 6 bulan selepas sesuatu PRU itu diadakan, bergantung kepada yang mana satukah lebih terkemudian.
10. Bagi menjelaskan kesan pindaan ini, saya akan tunjukkan senario dan ilustrasi yang mungkin berlaku dan bilakah kita harus mengadakan Pemilihan parti berdasarkan Fasal 10.16.1 yang baharu ini.
11. Katakanlah, mengikut kitaran 3 tahun, pemilihan parti yang seterusnya sepatutnya diadakan pada bulan Jun 2022.
12. Bersandarkan kepada Fasal 10.16.1 yang baharu, pemilihan parti sekarang boleh ditangguhkan pada satu masa dalam tempoh tidak melebihi 18 bulan dari tarikh sepatutnya ATAU sehingga 6 bulan dari PRU.
13. Ini bermakna, pemilihan parti mestilah diadakan pada bila-bila masa tidak melebihi Disember 2023, iaitu tempoh 18 bulan dari pemilihan parti sebelumnya (Jun 2022).
14. Dan sekiranya terdapat PRU diadakan, katakan pada Januari 2023, penangguhan tarikh pemilihan parti masih boleh dilakukan sehingga selewatlewatnya Disember 2023. Ini kerana tempoh penangguhan 18 bulan itu adalah lebih terkemudian berbanding 6 bulan selepas PRU, iaitu Julai 2023.
15. Namun, jika PRU diadakan pada Julai 2023 misalnya, maka tarikh pemilihan parti boleh ditangguhkan sehingga selewat-lewatnya Januari 2024. Ini kerana, tempoh 6 bulan selepas PRU itu adalah lebih terkemudian daripada tempoh 18 bulan penangguhan dari pemilihan parti yang sebelumnya.
16. Dan bagi menjelaskan bilah tarikh PRU yang dimaksudkan, maka dicadangkan juga satu fasal kecil baharu iaitu Fasal 10.16.2 yang akan memperuntukkan bahawa:
Tarikh Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat) yang dinyatakan dalam Fasal 10.16.1 ini bermaksud tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat) yang dinyatakan dalam writ yang dikeluarkan mengikut Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 atau manamana undang-undang yang terpakai bagi tujuan yang sama.
Tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) yang dinyatakan dalam Fasal 10.16.1 ini bermaksud tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Umum Dewan Rakyat yang dinyatakan dalam writ yang dikeluarkan mengikut Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 atau mana-mana undang-undang yang terpakai bagi tujuan yang sama.
17. Susulan kepada pindaan yang dibuat pada Fasal 10.16 ini, maka, kedua-dua Fasal 15.3 dan Fasal 18.2 akan turut terpinda seperti berikut:
Fasal 15.3
Ketua dan Naib Ketua Wanita UMNO, Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda, dan Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Puteri dan Ahli-ahli Jawatankuasa mengikut Fasal 15.1.7, hendaklah dipilih tiap- tiap tiga (3) tahun sekali. Walau bagaimanapun Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan sepertimana diperuntukkan di Fasal 10.16.1 dan Fasal 10.16.2.
Fasal 18.2
Ketua, Timbalan Ketua, dan lima belas (15) Ahli-Ahli Jawatankuasa Cawangan mengikut Fasal 18.1.7 hendaklah dipilih tiap-tiap tiga (3) tahun sekali oleh Persidangan Cawangan. Ketua Wanita UMNO, Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Pergerakan Puteri akan dipilih oleh Persidangan Pergerakan masing-masing tiap-tiap tiga (3) tahun sekali. Walaubagaimanapun Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan sepertimana diperuntukkan di Fasal 10.16.1 dan Fasal 10.16.2.
18. Saya harap pindaan-pindaan dan cadangan fasal kecil baharu berkaitan penangguhan pemilihan parti ini dapat diteliti dan difahami dan seterusnya dipersetujui.
19. Sesungguhnya kita semua mengharapkan yang terbaik untuk UMNO dan kelangsungan parti ini demi menjadi wahana penting untuk menjaga kemaslahatan orang Melayu dan tanahair kita.
20. Saya dengan ini mengemukakan cadangan pindaan kepada Fasal-fasal 10.16 dengan memasukkan Fasal 10.16.1 dan 10.16.2 baharu dan pindaan-pindaan kepada Fasal-fasal 15.3 dan 18.2 dalam Perlembagaan UMNO.
Sekian, terima kasih.
DATUK SERI MOHAMED KHALID NORDIN
Naib Presiden UMNO