KUALA LUMPUR, 16 Mei – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berkata, pindaan Perlembagaan UMNO adalah bertujuan untuk menyatukan parti.
Ini kerana katanya, UMNO tidak boleh berpecah belah dan UMNO akan rugi jika tidak bersatu padu malah UMNO tidak akan boleh beri yang terbaik kepada rakyat Malaysia jika kepimpinan parti tidak sepakat dalam membuat keputusan.
“Yang dirindui oleh segenap rakyat Malaysia adalah kestabilan, seperti yang ditawarkan di Melaka dan Johor.
“Alhamdulillah telah berlangsung Perhimpunan Agung Khas UMNO untuk meminda perlembagaan UMNO dan Sambutan Hari UMNO ke-76.
“Amanat yang disampaikan oleh Datuk Seri Presiden Dr. Zahid Hamidi cukup menyuntik semangat perwakilan untuk kembali ke bahagian masing-masing dan bersiap sedia bagi menghadapi PRU15,” katanya dalam hantaran menerusi laman facebooknya berkaitan hal terbabit.
Ujarnya yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, pasukan sekarang ini adalah pasukan yang jatuh dan bangkit dengan keazaman.
“Ini adalah pasukan yang tidak tunduk kepada ugutan. Inilah pasukan yang kekal istiqomah dalam perjuangan. Inilah pasukan yang akan membawa parti menghadapi PRU15 untuk melakar kejayaan.
“Di kesempatan Hari Belia Negara, perhimpunan ini memberi isyarat bahawa ruang akan dibuka seluasnya bagi muka baharu dan orang muda menjadi calon mewakili parti dan mewarisi kepimpinan parti untuk menjadi penyambung perjuangan UMNO.
“Selepas berakhirnya perhimpunan. Sempat bersama rakan-rakan seperjuangan dari seluruh negara dalam Majlis Sambutan Aidilfitri UMNO 2022 yang dihadiri oleh Kepimpinan tertinggi, Ahli-Ahli Parti, dan juga wakil-wakil kedutaan,” katanya lagi. – UMNO Online