KUALA LUMPUR, 24 Mei – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan menyokong penuh usaha pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan pusat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ciapnya di twitter, usaha tersebut memerlukan kerjasama semua pihak termasuk menterjemahkan buku dan karya ilmu dari pelbagai bahasa.
“Pengantarabangsaan Bahasa #Melayu & (dan) peningkatan penggunaannya adalah suatu dasar amat baik diusahakan #PerdanaMenteri @IsmailSabri60.
“Penterjemahan buku, karya utk (untuk) sumber ilmu drpd (daripada) pelbagai bahasa dunia wajar ditingkatkan. Banyak negara maju menggunakan bahasa ibunda mereka,” twit Ahli Parlimen Pontian itu.
Pada Ahad lalu, ketika merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, Ismail Sabri berkata kerajaan mengarahkan semua urusan melibatkan luar negara termasuk surat-menyurat mesti menggunakan Bahasa Melayu.
Jelas Ismail Sabri lagi, setiap surat yang dihantar oleh beliau sendiri kepada para pemimpin dunia juga akan menggunakan Bahasa Melayu dengan terjemahan Bahasa Inggeris sebagai lampiran.
Bahkan, ketika sidang khas ASEAN bersama Presiden Amerika Syarikat Joe Biden baru-baru ini, Ismail Sabri turut menggunakan Bahasa Melayu. – UMNO ONLINE