KUALA LUMPUR, 24 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyambut baik tindakan tegas kerajaan untuk segera menangani isu peningkatan harga dan bekalan ayam semasa yang benar-benar menghimpit dan meresahkan rakyat ketika ini.
Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan tegas dan pengisytiharan ‘perang’ terhadap kartel di kalangan syarikat-syarikat tertentu yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran amatlah dialu-alukan.
Tambah Dr Asyraf, selain ketetapan segera yang diumumkan kerajaan kelmarin, Pemuda UMNO mencadangkan beberapa pendekatan tambahan bagi memastikan bekalan ayam benar-benar cukup dan memenuhi kehendak rakyat dalam tempoh terdekat.
“Memberi bantuan khas bagi segera menghidupkan penternak-penternak tempatan yang terpaksa gulung tikar akibat tekanan kartel.
“Bagi menyegerakan pengimportan ayam daripada negara jiran seperti Thailand, selain pemansuhan AP (permit import), dicadangkan satu agensi khas seperti NAFAS (Pertubuhan Peladang Kebangsaan) diwujudkan segera.
“Ini bagi memastikan keupayaan pihak pengimport dari pelbagai segi termasuk kuantiti dan dana terjamin agar tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pihak pembekal di Thailand hingga akhirnya terpaksa kembali bergantung kepada syarikat-syarikat kartel yang besar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Seterusnya jelas Dr Asyraf, selain pelan jangka pendek bagi memenuhi keperluan semasa rakyat, pelan jangka panjang dengan perincian dasar, hala tuju dan mekasnisme perlaksanaan yang jelas mesti dilakukan segera.
“Sebagai contoh, dasar penanaman jagung bagi tujuan memenuhi bekalan dedak mestilah jelas termasuk dari segi pengawalan harga, pemberian subsudi dan pembangunan bersepadu yang komprehensif bagi memastikan harga jagung yang dibekalkan kelak adalah kompetitif berbanding import dari Brazil dan Argentina yang ternyata punya kelebihan dari segi skala ekonomi (economic of scale),” ujarnya lagi.
Selain itu katanya, Pemuda UMNO juga mencadangkan diwujudkan sebuah Lembaga Pembangunan Unggas Negara (LPUN) agar satu dasar yang komprehensif dan tindakan bersepadu yang melibatkan beberapa kementerian dapat dilaksanakan sekaligus memastikan seluruh rantaian bekalan ayam dari aspek penternakan hinggalah ke peringkat penjualan dan pengeksportan terpelihara dari segi harga, kualiti dan bekalan semasa. – UMNO ONLINE