KUALA LUMPUR, 30 Mei – Barisan Nasional (BN) Harus mengekalkan momentum kemenangan susulan selepas meraih kejayaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN), tegas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ini kerana katanya, dalam tempoh empat tahun ini BN telah bangkit kembali dengan memenangi tujuh PRK dan momentum ini akan diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
“Momentum kejayaan BN pada PRN Sabah iaitu 14 kerusi yang dimenangi. Kenaikan yang banyak ditambah dengan dua ADUN yang dilantik serta menjadi 16 ADUN. Momentum seterusnya iaitu kemenangan di Melaka, BN menang 21 kerusi daripada 28 kerusi yang bermakna 75 peratus iatu ¾ bahagian kerusi ADUN.
“Kawan baik BN iaitu GPS (PRN Sarawak) telah memenangi 76 dari pada 82 kerusi atau 92 peratus. Ini satu kemenangan yang sangat besar dan terakhir adalah momentum kemenangan di Johor yang memenangi 40 kerusi daripada 56 atau 71 peratus dan lebih daripada 2/3,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya anjuran Kongres Indian Muslim (KIMMA), di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menjelaskan momentum kemenangan ini perlu diteruskan untuk memenangi PRU ke 15.
“Ia memberi keyakinan kepada penyokong BN dan juga jentera BN malah menjadi petanda baik apabila rakyat kembali kepada BN. Kesilapan yang lalu diperbaiki dengan penuh semangat, bangkit kembali untuk memenangi PRU ke 15,” ujarnya.
Seterusnya kata Ahmad, momentum yang terakhir dan utama adalah memenangi PRU 15.
“BN mahukan kemenangan pada PRU 15 ini adalah demi kestabilan negeri dan negara. BN juga mahu kemenangan untuk manfaat rakyat, memperbaiki negara ini dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan hal-hal kemasyarakatan supaya rakyat akan berada dalam negara yang aman, makmur dan stabil. Itu adalah tujuan utama BN,” tegasnya lagi. – UMNO Online