KUALA LUMPUR, 5 Jun- Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kemenangan dalam pilihan raya umum adalah terbuka kepada semua parti yang bertanding dan ianya bukanlah milik mana-mana pihak.
Jelas beliau untuk itu mana-mana parti sudah pastilah akan berusaha sebaik mungkin dengan merangka pelbagai strategi dalam usaha mencapai kemenangan.
“Kemenangan adalah terbuka untuk semua dan ianya bukan milik sesiapa… dan siapa yang nak menang kenalah berusaha sebab itulah saya berkongsi pada konvensyen Barisan Nasional (BN) hari itu… kita tidak boleh lagi duduk dalam kepompong selesa,” katanya.
Jelasnya, parti yang mempunyai kelebihan akan mencapai kemenangan dan kemenangan tidak akan datang dengan mudah.
“PH pun tidak boleh ‘claim’ dan orang yang mempunyai kelebihan akan mencapai kemenangan… kemenangan tidak datang bergolek dan sebab itulah kita perlu berusaha supaya orang terpikat dengan kita. Orang nak undi kita mesti orang suka dengan kita terlebih dahulu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Permukiman Penerangan UMNO Malaysia, di sini malam tadi. Turut serta Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Dalam pada itu beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut melihat penerangan adalah elemen penting dalam membantu parti berdepan pilihan raya dan jika tidak berupaya untuk menerangkan dengan betul ianya sudah pasti akan memberi keputusan sebaliknya.
“Apa akan jadi jika kita tidak upaya untuk balas apa orang cakap… apa jadi pada PRU-14. Jangan duduk dalam gelap dan sebagai elemen penting dalam parti kita perlukan jentera penerangan dan pelbagai jentera yang lain.
“Yang utama adalah parti… buatlah apa sekali pun yang utama adalah kemenangan BN. Saya percaya rakyat akan berlaku adil dalam pilihan raya khususnya atas oagar akan menilai sebaiknya,” jelasnya. – UMNO Online