KUALA LUMPUR, 18 Jun – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan kewujudan kartel yang mengawal harga pasaran ayam menyebabkan harga ternakan itu tidak menentu di pasaran sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, sewajarnya mereka tidak boleh memanipulasi pasaran ayam dan bekalan di negara ini dan kerana rakyat memerlukan bekalan tersebut.
“Harga ayam tidak wajar ditentukan oleh Kartel. Mereka boleh memanipulasi harga dan bekalan pada bila-bila masa apabila pasaran bukan lagi bersifat kompetitif dan ’padang yang tidak sama rata’.
“Sebab itulah Kerajaan harus segera tubuhkan Lembaga Unggas bukan sahaja bagi menentukan harga yang berpatutan tetapi memperhalusi secara menyeluruh aspek pengeluaran, penternakan, dedak termasuk harga ayam di pasaran,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Jelasnya, ramai peniaga terpaksa mengenakan pelbagai bentuk caj tambahan kerana menerima harga yang tinggi dari pembekal
“Hari ini pun ramai peniaga di pasar-pasar terpaksa mengenakan pelbagai bentuk caj tambahan kepada pelanggan seperti upah membersih ayam, upah potong dan lain-lain kerana harga ayam yang mereka terima dari pengedar dan penternak juga sudah mahal dan bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan oleh penguatkuasa KPNHEP yang menetapkan harga siling,” ujarnya.
Untuk rekod, pada masa ini kerajaan menetapkan harga maksimum bagi ayam bulat dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal pada RM9.90 sekilogram. – UMNO Online