KUALA LUMPUR, 23 Jun – Pemuda Barisan Nasional (BN) akan terus menyelusuri gerakan sehingga ke akar umbi dalam usaha memastikan kesiapsiagaan jentera pergerakan itu dalam membantu parti mencapai kejayaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusinya yang juga Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) serta beberapa pilihan raya kecil membolehkan pergerakan itu melihat serta meneliti secara mendalam segala gerakan serta persediaan malah apa yang lebih utama dapat mengukur sejauh mana sokongan golongan muda terhadap parti berkenaan.
“Alhamdulillah… persediaan kita mencapai tahap 70 hingga 80 peratus dan kita akan meneliti ke bawah sehinggalah ke pusat-pusat daerah mengundi dan sebagainya. Kekuatan yang ada pada kita harus memanfaatkan lebih 20 ribu cawangan-cawangan kita seluruh Malaysia.
“Pengalaman pada PRN Melaka serta Johor dan beberapa pilihan raya kecil yang lain iaitu kita dapat lihat kalau cawangan-cawangan mampu mendekati serta adakan pelbagai bentuk program dengan anak muda maka kita mampu dapatkan undi mereka.
“Laporan terkini yang kita dapat daripada Pusat Daerah Mengundi (PDM) hampir 90 peratus saluran anak muda terutama 18-25 tahun kita menang dan ini bermakna jentera memainkan peranan besar untuk mendekati mereka. Kita harus memahami pelbagai tahap pemikiran dan pelbagai ‘level interest’ yang ada pada anak muda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN), di sini, semalam.
Dalam pada itu ketika ditanya berkaitan pilihan raya umum, Asyraf sekali lagi mengulangi pendirian pergerakan itu sebelum ini bahawa mandat rakyat perlu dikembalikan kepada mereka.
“Sepertimana yang telah dizahirkan pada tiga platform besar iaitu Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU) 2021, perhimpunan agung khas serta konvensyen BN… kalau kita lihat kepada resolusi yang telah diputuskan melalui platform ini, kita dapat lihat sememangnya kita perlu menyerahkan mandat itu kepada rakyat.
“Waktu kita menubuhkan kerajaan PN dulu pun pada Feb 2020, memang kesepakatan pada waktu itu adalah untuk menubuhkan kerajaan setelah jatuhnya PH bagi satu tempoh tertentu dan bukannya dalam satu tempoh jangka panjang sebabnya kita berpegang kepada prinsip bahawa mandat rakyat perlu diserahkan kepada rakyat.
“Kita mengambil tanggungjawab membentuk kerajaan campuran yang akhirnya sudah tentu tidak akan stabil tetapi kerana faktor pandemik maka ditangguhkan dan hari ini pandemik sudah pun pergi kepada endemik, dan kita konsisten daripada dulu lagi perlu serahkan kembali kepada rakyat,” ujarnya.
Ujar beliau lagi, selagi ianya tidak diserahkan kembali kepada rakyat selagi itulah kerajaan hari ini tidak akan berada dalam suasana yang cukup stabil dan ianya sekaligus memberi impak kepada keyakinan para pelabur.
“Selagi mana kita tidak serahkan kepada rakyat selagi itulah tidak ada keyakinan serta kepercayaan daripada pelabur yang akan melabur dalam sebuah negara yang bagi mereka merasakan bila-bila masa boleh jatuh dan kita sudah ada tiga perdana menteri dan tiga kerajaan dalam tempoh empat tahun.
“Jadi apakah jaminan tidak akan berlaku perubahan sekali lagi dan itu yang kita dapat lihat daripada pertemuan kami dengan kedutaan-kedutaan malah ramai yang datang bertemu dengan kami menyatakan hasrat yang sama,” tambahnya. – UMNO Online