PUTRAJAYA, 23 Jun – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menekankan betapa pentingnya memikirkan hala tuju dan masa hadapan dengan mengutamakan keupayaan untuk hal-hal yang memberi manfaat kepada keseluruhan.
Lantaran itu katanya, janganlah musnahkan apa yang telah dibina dalam kerajaan lalu iaitu Barisan Nasional (BN) sebagaimana mewujudkan pusat-pusat pendidikan terbaik untuk anak bangsa namun ada pihak yang cuba menjadikannya sebagai tempat meracuni pemikiran anak muda.
“Orang ramai khususnya pengundi janganlah salah pilih lagi kerana keutamaan adalah kepada pihak yang benar-benar dapat mengutamakan rakyat.
“Pilihlah yang terbaik sebagaimana kita memilih pusat pendidikan untuk melanjutkan pelajaran bagi anak-anak dengan melihat kepada segala aspek,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata demikian ketika berucap dalam program Taklimat Kemasukan ke UiTM dan Pra Pengajian Tinggi yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Masrizal Muhammad, semalam.
Program yang dihadiri lebih 500 orang terdiri daripada ibu bapa dan para pelajar lepasan SPM dilaksana di Dewan Seri Seroja, Presint Diplomatik Putrajaya, malam tadi bagi merungkai kekeliruan untuk memilih pusat pengajian dengan kursus-kursus terbaik.
Ujar Tengku Adnan, bukan mudah untuk kerajaan lalu membangunkan pusat pendidikan sebagaimana yang ada sekarang iaitu pelbagai pusat pengajian tinggi awam dan swasta.
“Sebagaimana UiTM itu sendiri yang ditubuhkan bagi membantu anak-anak Melayu dan Bumiputera daripada tertinggal dan mendapat pendidikan terbaik malah kini UiTM setanding dengan institusi pengajian tinggi yang lain.
“Kita susur sejarah, UiTM ini adalah hasil perjuangan kepimpinan daripada Perdana Menteri Tun Razak yang mahukan anak bangsa kita maju kerana pendidikan mampu mengubah nasib kita,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berharap agar para pemimpin tempatan termasuklah menteri atau timbalan menteri agar turun padang dan mendekati masyarakat.
“Inilah yang rakyat mahukan iaitu taklimat dan penjelasan dari wakil rakyat yang telah dipilih, rakyat mahukan mereka sendiri yang datang untuk menyantuni dan membantu mereka secara langsung,” katanya lagi. – UMNO Online