KUALA LUMPUR, 25 Jun – Wanita UMNO menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menarik balik pengapungan harga ayam dan keputusan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, ia satu keputusan bijak yang pro rakyat ketika mana masyarakat hari ini berdepan dengan kos sara hidup yang semakin menekan.
“Terima kasih perdana menteri. Sememangnya pengumuman ini akan melegakan rakyat yang sangat berharap agar kerajaan mendengar keluhan mereka.
“Keputusan berani yang diumumkan Perdana Menteri adalah satu langkah drastik bagi menangani peningkatan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.
Ujarnya, Wanita UMNO yakin dan percaya bahawa keputusan ini berupaya melegakan hati rakyat daripada tertekan dengan kapitalis dalam mengambil kesempatan khususnya menaikkan harga ayam.
“Selain itu, keputusan ini juga memberi isyarat yang jelas bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri hari ini adalah kerajaan yang mementing dan meletakkan kesulitan rakyat sebagai dasar utama yang perlu ditangani,” katanya lagi.
Terdahulu, petang tadi Ismail Sabri memaklumkan bahawa Kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung, manakala harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban.- UMNO Online