KUALA LUMPUR, 1 Julai – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pengumuman kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dianggotai beberapa menteri adalah satu langkah yang baik.
Kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, ia sejajar dengan saranannya sebelum ini pada 21 Mei lalu untuk Kerajaan Persekutuan menangani masalah inflasi, kos sara hidup dan sekuriti makanan dengan lebih tersusun melalui kerjasama rentas Kementerian sebagaimana yang pernah diutarakan dalam satu status di Facebooknya (pautan).
“Bagi saya, Kerajaan Persekutuan perlu sedar bahawa dengan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ini, Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi berkesan, tidak perlu dan bercanggah dengan usaha-usaha terkini kerajaan untuk menangani masalah-masalah rakyat,” katanya di dalam satu hantaran di platform media sosialnya itu.
Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, sebenarnya kewujudan Majlis Pemulihan Negara dari awalnya lagi tidak membuahkan hasil dan berfungsi hanya sebagai penasihat kepada kerajaan sahaja.
“Fungsi ini sebenarnya boleh dan sedang dilakukan oleh badan-badan pemikir berkaliber seperti contohnya Khazanah Research Institute (KRI) dan badan-badan pemikir lain yang selama ini telah lama bergiat aktif dalam memberi nasihat serta syor kepada kerajaan.
“Majlis Pemulihan Negara hanyalah satu platform untuk memberikan Tan Sri Muhyiddin Yassin peluang bagi menaikkan imej diri sendiri serta parti beliau dan tidak semestinya bersuara bagi pihak rakyat dan kepentingan negara,” ujarnya lagi.
Tegasnya juga Majlis Pemulihan Negara sudah gagal.
“Sudah tiba masanya kerajaan membubarkan sahaja majlis ini dan memberikan kelapangan kepada kementerian-kementerian dan menteri-menteri daripada melayan dan menghadiri mesyuarat majlis yang tidak berkesan ini.
“Saya ingin menasihati Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggunakan platform berlainan bagi menyumbang idea dan saranan sebagai Mantan Perdana Menteri, seperti menerusi Yayasan Kepimpinan Perdana bersama-sama Tun Dr. Mahathir. Itu lebih elok,” katanya. – UMNO ONLINE