KUALA LUMPUR, 12 Julai – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pemegang jawatan di dalam UMNO bukan ‘caretaker’ atau ‘penjaga’ sebagaimana pemahaman segelintir pihak.
Ciap Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian di dalam Twitter, pimpinan UMNO boleh melaksanakan pelbagai aktiviti serta mengumumkan dasar melibatkan parti demi kepentingan ahli dan juga parti.
“Bukan ‘caretaker’ atau ‘penjaga’. Ini bermakna pimpinan UMNO boleh laksana apa juga aktiviti dan umum dasar untuk kepentingan ahli dan parti.
“Termasuk meminda Perlembagaan. Maka kami positif yang pendaftar pertubuhan (ROS) akan luluskan pindaan Perlembagaan UMNO dan surat permohonan telah dihantar pada 17/5/22,” twitnya.
Tampil dengan keratan akhbar temubualnya bersama media, Ahmad berkata Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO menyatakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berhak menangguhkan pemilihan pada peringkat MKT, Bahagian dan Cawangan.
Katanya juga, dalam pertemuannya bersama pihak ROS, ROS juga mengesahkan pemegang jawatan di dalam UMNO kini bukan berstatus ‘caretaker’.
Jelasnya juga, termaktub juga di dalam Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO, UMNO boleh mengambil sebarang langkah selain daripada perkara yang disebut bagi kesempurnaan perjalanan parti.
Terdahulu, di Twitternya, Ahmad berharap ROS akan terima permohonan UMNO berhubung penangguhan pemilihan parti sebagaimana yang diputuskan sebulat suara di dalam Perhimpunan Agung Khas UMNO (PAU) pada Mei lalu.
“Segala pindaan telah dibuat dengan teratur. Penjawat jawatan bukan ‘caretaker’ ketika membuat keputusan. MCA telah dapat kelulusan. Pindaan Perlembagaan UMNO hampir serupa.
“Parti berhak laksana apa yang terbaik diputus oleh PAU dan MKT,” – UMNO ONLINE