Tidak ‘Sambung’ MoU Ialah Tindakan Kawan, Bukan Kerja Musuh

Ada laporan bahawa seorang pemimpin UMNO berpandangan “UMNO merupakan musuh terbesar kita pada masa ini”. Saya tak pasti apa konteks komen tersebut, tetapi antara alasannya ialah kerana sebahagian dari kepimpinan tidak mahu menyambung MOU bersama pembangkang.



Pertama sekali, siapa “kita” yang dimaksudkan dalam “musuh kita”? Sefaham saya, “kita” berpegang kepada keputusan parti yang jelas pada tarikh 14 April 2022, dimana MKT telah membuat beberapa keputusan:

1. Kedudukan MOU di antara Kerajaan dan Pakatan Harapan tidak akan diteruskan lagi selepas 31 Julai 2022.

2. Pembentangan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa sebarang halangan. UMNO berpendirian bahawa Akta ini perlu segera dibentang bagi memastikan pengundi kembali yakin dengan sistem demokrasi negara. InsyaAllah Akta ini akan dibentangkan, dibahas, dan diluluskan pada sidang Parlimen akan datang yang bermula hari Isnin ini.

3. Perhimpunan Agung Khas diadakan untuk mengabsahkan usul Perhimpunan Agung UMNO 2021 berkenaan dengan pindaan Perlembagaan UMNO mengenai tempoh pemilihan parti.

4. YAB Dato’ Sri Ismail Sabri sebulat suara dicadangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU15.

Keputusan (2), (3), dan (4) sama ada sudah, atau sedang berlangsung/berkuatkuasa dalam erti kata lain, “in effect”. Tinggal (1) yang hanya mampu terpakai selepas 31 Julai.

Ini cara kepimpinan dan MKT UMNO buat keputusan – bermusyawarah dan kemudian hormati keputusan.

Tidak timbul ini agenda sesiapa. Ia keputusan bersama dalam mesyuarat. Tidak timbul soal UMNO ialah “musuh kita”.

Kedua, tujuan dan rasional keputusan UMNO berkenaan MOU Kerajaan bersama pembangkang perlu dilihat dari sudut yang betul supaya tidak disensasi.

MOU yang wujud hari ini telah membantu kestabilan politik sewaktu suasana berbeza tahun lepas. Ia lahir dari kematangan dwi-partisan yang dipuji oleh SPB Yang DiPertuan Agong sendiri dalam titah diraja Baginda. Setelah bertukar 3 Perdana Menteri dalam sepenggal, persefahaman antara Kerajaan dan pembangkang meredakan suhu dan membolehkan pentadbiran dijalankan tanpa tanda soal berterusan.

Tetapi sekarang sudah di hujung penggal. PRU akan tetap tiba. Disini, UMNO dan PM dari UMNO perlu ada ruang menentukan tarikh sesuai. Sedar atau tidak, dengan MOU sedia ada, ruang itu tertutup untuk satu tempoh kerana wujud persetujuan untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022. Tak apa, kita faham situasi pada waktu itu dan kemaslahatan lebih besar; tetapi sekarang senarionya sudah berbeza.

Maka sebab itulah parti buat keputusan agar selepas 31 Julai tangan kita tidak terikat lagi dan opsyen akan ada di tangan PM. PM orang UMNO dan umum mengetahui keputusan PAU untuk memberi mandat kepada Top 5 untuk berbincang.

Jelas, soal lain dalam MOU itu berhubung transformasi pentadbiran termasuk RUU Anti Lompat Parti, pembaharuan Parlimen dan lain-lain perkara boleh diteruskan atas semangat kematangan tersebut. Tetapi soal ikatan sehingga 31 Julai itu, tak perlu dilanjutkan lagi.

Maka keputusan MKT ini sebenarnya memberi kelebihan dan ruang kepada UMNO dan khususnya PM dari UMNO.

Sekali lagi, tak soal timbul UMNO ialah “musuh” kepada orang UMNO sendiri.

#SambungYangTergendala

SHAHRIL HAMDAN
Ketua Penerangan UMNO