PUTRAJAYA, 17 Julai – Bendahari UMNO merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan orang ramai bahawa sememangnya wujud agenda oleh pihak yang mahu merosakkan negara termasuklah dengan memburuk pemimpin.
Maka kerana itu katanya, pihak terbabit akan buat macam-macam cerita bagi mempengaruhi minda rakyat.
“Kerana itu sekarang ini banyak ‘fake news’ dari ‘real news’. Yang menyedihkan berita-berita palsu itu juga masuk melalui saluran-saluran media massa termasuk saluran elektronik yang mudah didapati.
“Jadi saya nak minta semua di luar sana supaya menyemak atau menilai dahulu setiap berita yang ada di sekeliling, jangan terus percaya sebaliknya buat semakan, tanya dan nilai terlebih dahulu,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian ketika berucap merasmikan Putrajaya Cybergames 2022 yang berlangsung di Presint 15, semalam.
Program anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Putrajaya ini mengumpulkan anak-anak muda tempatan melalui e-sukan yang semakin mendapat tempat di kalangan mereka.
Dalam hal ini, Tengku Adnan mengingatkan anak-anak muda agar tidak leka sebaliknya peka terhadap persekitaran.
“Pastikan anak-anak muda peka. Ini kerana Ini sedikit sebanyak hal yang berlaku akan mempengaruhi apatah lagi berita palsu dan tohmahan tidak benar hanya akan membawa ke arah negara yang tidak kondusif.
“Saya maklumkan hal ini agar anak-anak semua betulkan keadaan kerana masa depan negara kita berada pada masa hadapan anak-anak sekalian,” katanya lagi. – UMNO Online