IPOH, 17 Julai – UMNO berharap tiada sebarang halangan bagi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk meluluskan permohonan pindaan perlembagaannya, kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Jelasnya, UMNO sudah mengemukakan dokumen tambahan diperlukan ROS, antara lain bertujuan memperakui keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khasnya, baru-baru ini.
“Semua dokumen yang diminta oleh ROS sudah pun dihantar dengan lengkap. Sewajarnya perkara ini tiada isu untuk dilepaskan oleh ROS. Beri jawapan untuk melepaskan itu secepatnya mungkin supaya UMNO tidak ada tanda soal atau tanda tanya sebab ahli UMNO mahukan kepastian.
“Dari segi teknikal dan logiknya dokumen itu lengkap dan tidak ada isu dan semua program UMNO boleh 100 peratus tertumpu saja iaitu hendak menang PRU.
“Selagi ROS ini tidak keluar akan ada tanda soal dan kena terangkan pada ahli UMNO. Kita mahukan kepastian dan ketetapan supaya fokus pada pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada UMNO Online di Bangunan Perhubungan UMNO Negeri Perak, hari ini.
Untuk rekod, UMNO telah mengadakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas pada Mei lalu bagi meluluskan usul meminda perlembagaannya iaitu memberi pilihan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menentukan tarikh pemilihan parti, dengan klausa baharu yang dimasukkan di bawah Fasal 10.16 adalah pemilihan dalam tempoh enam bulan selepas PRU.
Keputusan pindaan itu kemudian diserahkan kepada ROS untuk disemak dan diteliti, dengan agensi itu mempunyai tempoh sehingga 60 hari untuk menerima atau mengemukakan maklum balas selainnya. – UMNO Online