KUALA LUMPUR, 20 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kekesalan berkenaan isu membabitkan penghinaan agama sejak kebelakangan ini.
Katanya, paling membimbangkan apabila ianya dilakukan oleh orang Islam sendiri yang mengeluarkan kenyataaan tidak wajar berkenaan agama anutannya.
“Tidak boleh diterima jika orang Melayu Islam sendiri yang menghina Islam.
“Mereka yang mengucapkan perkataan biadap boleh jadi dibawah pengaruh dadah atau tekanan mental.
“Namun perbuatan mereka adalah wajar dikecam dan dibantah seluruh lapisan masyarakat dan agama,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menyeru kebijaksanaan anggota masyarakat bagi mendepani anasir-anasir seperti ini.
Jelas Ahmad Zahid lagi rakyat Malaysia wajar mendukung Rukun Negara kerana ianya dibentuk dengan tujuan utama iaitu membentuk perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.
“Setiap penghinaan mereka kepada mana-mana agama tidak harus mengudang amarah sesama kita, masyarakat Malaysia tetap sehati sejiwa dan terus bersama memperkasakan kemuafakatan rakyat.
“Kita terus hayati semangat Rukun Negara yang menjadi pegangan kebersamaan kita selama ini. Hentikan perbuatan menghina agama. Jangan dimusnahkan keharmonian yang kita bina selama ini.
“Sejak sekian lama masyarakat berbilang kaum negara ini dibentuk dan dididik untuk saling menghormati. Mengapa selepas berpuluh tahun bersama tiba-tiba ada anasir-anasir yang mahu merosakkan,” tegas beliau.
Untuk rekod seorang lelaki di Puchong ditahan polis pada Ahad ekoran perbuatan menghina agama Islam yang dikongsinya menerusi rakaman video di media sosial, dia juga bertindak mencabar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumpa selain mengeluarkan kata-kata kesat.
Keesokannya polis Kelantan juga menahan seorang lelaki Melayu berusia 35 tahun yang dipercayai menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW. – UMNO Online