KUALA LUMPUR, 23 Julai – Kita sedang berdepan krisis global yang cukup mencabar dan menguji kemampuan dalam bertindak.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata negara memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil untuk mengharungi cabaran ini dengan jaya.
Ulas Ahmad Zahid dalam satu hantaran di Facebook, dunia pada tahun 2022 sedang berdepan isu inflasi yang membebankan kebanyakan negara.
Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, gangguan rantaian bekalan akibat pandemik serta perang Russia-Ukraine menekan kehidupan manusia sejagat.
“Malaysia antaranya pernah berdepan krisis kejatuhan harga minyak yang amat teruk bermula tahun 2014.
“Alhamdulillah kita berjaya mengendalikan krisis berkenaan dengan baik kerana memiliki kerajaan stabil.
“Begitu juga krisis-krisis ekonomi yang berlaku sebelumnya berjaya kita kendalikan dengan teratur. Sekali gus mengurangkan impak langsung kesan krisis terhadap kehidupan masyarakat,” ujarnya.
Jelas Ahmad Zahid lagi, ini bermaksud amat penting pentadbiran kerajaan mampu bergerak seiringan sebagai sebuah pasukan.
“Kelewatan mengembalikan kestabilan akan menyulitkan usaha kita dalam mengharungi cabaran semasa,” tegasnya. – UMNO ONLINE