ALOR STAR, 24 Julai – Saya tak tahulah pulak..setahu saya yang ada ‘Kem Wadiburn’, ‘Port Dickson,’ ‘PULADA’, demikian jawapan sinis Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjawab pertanyaan media dan pada masa yang sama menegaskan tidak wujud kem di dalam parti berkenaan sebaliknya perkara tersebut hanyalah bertujuan untuk mengadu domba sesama pemimpin.
Tegas beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO dan Barisan Nasional (BN), pimpinan parti sama sekali tidak terikut untuk menari rentak yang dipalu oleh mereka yang ingin melihat wujudnya ketidaksamaan di dalam UMNO dan BN.
“Tak ada dan itu adalah orang yang sengaja mahu mengadu domba sesama pemimpin.
“Sebab itu dalam ucapan tadi, saya tekankan, mereka tidak tahu saya selalu berjumpa dengan pemimpin dan takkan saya nak wartakan pulak jumpa dengan Perdana Menteri masuk dalam Facebook saya.
“Kita di peringkat pimpinan sering berbincang dan sering berjumpa termasuklah pimpinan dalam kerajaan. Orang nak panggil kem apa biarlah…asalkan kami tidak menari dengan rentakyang didendangkan. Kami ‘relaks’ sahaja. katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan bersama seluruh jentera parti negeri Kedah, di bangunan UMNO negeri, di sini, hari ini. Turut serta barisan kepimpinan BN Pusat dan dan Kedah.
Dalam pada itu beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN turut menegaskan keharmonain di dalam parti perlu terus dijaga supaya matlamat untuk memenangi pilihan raya nanti terlaksana.
“Soal pembahagian kerusi jangan disentuh dahulu dan pembahagian ini biarlah kepimpinan pusat…presiden-presiden parti dan biro politik masing-masing membentangkan strategi dan di situ nanti kita akan lihat keseluruhan.
“Kita tidak mahu di peringkat negeri atau bahagian mengatakan untuk mendapat mana-mana kerusi kerana ianya nanti mewujudkan perasaan tidak sihat antara satu sama lain tetapi jika parti telah bersetuju di peringkat pusat maka saya rasa di peringkat negeri, parlimen dan juga DUN (Dewan Undangan Negeri) mereka akan menurut apa yang telah diputuskan.
“Kami di peringkat pucuk pimpinan masih belum membuat sebarang perundingan dan ini ’round’ pertama melihat kedudukan semasa. Selepas saya kembali menemui keseluruhan jawatankuasa negeri-negeri, saya akan buat laporan dan di situ nanti kami akan berbincang bersama rakan-rakan komponen.
“Setakat hari ini kita mantain status quo. Jadi saya harap supaya tidak timbul soal-soal yang mengatakan kita nak ambil kerusi siapa dan perlu memberikan kerusi kepada siapa. Semangat keakraban kita dalam BN ini penting kerana keutamaan kita adalah untuk menghadapi pilihan raya dan kita tidak mahu wujudnya perasaan syak wasangka dan perasaan tidak puas hati antara satu sama lain,” ujarnya.
Sementara itu dalam ucapannya bersama jentera parti, Mohamad mengingatkan agar masing-masing tidak mengambil mudah Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Tambahan pula ujar beliau Kedah yang silih berganti parti yang diberi kepercayaan oleh rakyat.
“Kedah ini kejap dia menang..kejap kita menang. Apa pun saya yakin kita boleh menang sebab kita tidak kalah banyak. Jangan kita sambil lewa berdepan PRU. Pilihan Raya Kecil (PRK) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) berbeza dengan PRU. PRK dengan PRN semua datang membantu. Kali ini masing-masing jaga kawasan sendiri,” ujarnya.- UMNO Online