KUALA LUMPUR, 28 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpendapat bahawa undang-undang pembiayaan politik perlu diwujudkan agar tiada lagi pihak yang dijadikan ‘kambing hitam’ bagi mana-mana individu untuk mengaut keuntungan.
Menerusi hantaran di laman Facebook beliau berkata, Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik ini masih belum dibentangkan sehingga sidang Dewan Rakyat sudah hampir berakhir.
“Ketika pemerintahan Datuk Seri Najib Razak pernah dicadangkan Undang-Undang Pembiayaan Politik namun apabila Barisan Nasional (BN) kalah ia tidak sempat dibentangkan. Akibatnya, apabila pemerintahan Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja rang undang-undang tersebut tak dibentangkan, maka pendakwaan terpilih berlaku dan berunsur politik.
“Yang menjadi mangsa ialah mereka dianggap musuh politik. Apabila saya enggan membubarkan UMNO, saya dan teman-teman pimpinan parti dijadikan ‘kambing hitam’ dalam isu kes wang pembiayaan politik dan derma. Peliknya yang bersekutu dengan mereka tiada pula apa-apa pendakwarayaan hingga kini,” katanya.
Ahmad turut memberikan keyakinan kepada rakyat, sekiranya Barisan Nasional (BN) menguasai parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), rang undang-undang tersebut akan dibentangkan di parlimen.
“Maka apabila Barisan Nasional (BN) menang PRU15 dan menguasai parlimen akan dipastikan rang undang-undang tersebut akan dibentangkan di parlimen. Tiada lagi pihak yang akan teraniaya dan menjadi kambing hitam dalam isu pembiayaan politik dan derma politik.
“Inilah jadi azam UMNO dan BN, janganlah putus asa dan teruskanlah bangkit. Masa akan tiba tidak lama lagi,” katanya. – UMNO Online