KUALA LUMPUR, 30 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung kelulusan usul pindaan Perlembagaan UMNO semalam.
Jelas beliau, setelah menunggu sekian lama akhirnya ROS meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO yang dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO (Khas) pada Mei lalu.
“Selepas menunggu dalam tempoh lama dan pelbagai prosedur dilakukan termasuk mengadakan Perhimpunan Agung Khas dan pelbagai syarat ditetapkan dipenuhi maka Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO berkuat kuasa semalam,
“Terima kasih ROS terhadap kelulusan tersebut. Terima kasih akar umbi UMNO di seluruh negara yang sama-sama berdiri teguh bersama kepimpinan UMNO memperjuangkannya walaupun ada segelintir secara terbuka cuba membina naratif menolaknya.
“Apabila seluruh ahli dan perwakilan UMNO bersatu padu dan tekad menyokong pindaan maka suara sumbang segelintir yang cuba menolaknya kini terbukti silap dalam menentukan sikap dan pendirian yang jelas bertentangan dengan suara akar umbi UMNO,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk, kematangan UMNO dalam berdepan isu ini, kesabaran UMNO dalam membawa kebangkitan rakyat dan memulihkan parti terbukti dalam kemenangan pilihan raya kecil (PRK) di 7 PRK selepas PRU14.
“Diikuti kemenangan PRN Melaka dan PRN Johor walaupun cuba diperlekeh oleh musuh politik kita. Namun tahap kesabaran kita dalam kepimpinan parti jelas tidak tunduk kepada mana-mana pihak yang memprovokasi dan mengganggu gugat pemulihan dan kestabilan dalaman UMNO.
“Tahniah kepada seluruh ahli UMNO dari lapisan akar umbi hingga ke peringkat tertinggi yang tetap bersama perjuangan UMNO, jelasnya.
Ujarnya lagi, semoga tahun baru Hijrah ini membawa barakah kepada kita semua dalam UMNO dan seluruh rakyat Malaysia untuk bergerak ke hadapan. – UMNO Online