Memenangi pilihanraya akan datang adalah fokus paling utama kepada UMNO.
Kerajaan yang sedia ada bersifat interim. Ini realiti. Semua memahaminya. Akhirnya, UMNO mesti mencari jalan keluar dari kesementaraan ini demi kestabilan negara melalui pilihanraya yang demokratik.
Untuk menang pilihanraya dan mendapat mandat baharu, parti mesti bersatu dengan hanya satu haluan. Haluan itu ialah haluan UMNO. Bukan haluan Presiden, bukan haluan PM. Bukan haluan mana-mana kelompok atau kluster.
Untuk kesatuan haluan ini dijayakan, segala fraksi dalam UMNO mesti kembali bertaut. Jangan diturutkan sangat segala percaturan, perbalahan, politicking yang hanya melemahkan UMNO secara dalaman.
Benar, kita tidak akan boleh bersetuju dalam semua perkara. Tetapi jangan kerana perbezaan pandangan, kita memilih untuk berpecah. Salah begitu.
Dukungan UMNO kepada Perdana Menteri mesti sepenuh hati. Begitu juga dukungan Perdana Menteri kepada Presiden dan parti mesti menyeluruh. Kedua-duanya mesti menguat satu sama lain.
Perdana Menteri harus menjadi suara UMNO dan Presiden pula mesti menjadi jurubicara bangsa. Hanya dengan sedemikian, Kerajaan dan parti terus sehaluan.
Puak berkepentingan di luar sana sangat gembira apabila UMNO berpecah belah. Kerana UMNO yang lemah akan mudah dikalahkan. Dan apa yang lebih menggembirakan dari berjaya melihat parti terbesar goyah dan bercempera?
Menafikan UMNO mempunyai pergeseran dalaman adalah bohong. Namun pergeseran tersebut adalah lumrah dalam berpolitik. Jangan biarkan ia menjadi retak dan belah yang merugikan UMNO.
Ingat, biduk berlalu kiambang bertaut.
Lalu kembalilah semua ke haluan UMNO, yang selama ini menjadi alasan kita semua berpolitik.
UMNO adalah wadah kita berkhidmat dan menyemai kebaikan selama ini. Fungsi itu tidak pernah berhenti. Tiada siapa yang lebih besar dari wadah dan fungsi ini.
Tiada.
Naib Presiden UMNO
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin