SHAH ALAM, 31 Julai – Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu melakukan kajian sikap pengundi secara terperinci bagi mengetahui sejauh mana kekuatan gabungan politik itu dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata perkara itu penting bagi memahami sentimen pengundi secara menyeluruh dalam misi mengembalikan kepercayaan pengundi kepada BN selain mengetahui kekuatan parti serta lawan berasaskan fakta dan bukan emosi.
“Kita perlu kajian sikap yang terperinci. Jika kita tak tahu (kekuatan dan kelemahan), akhirnya kita yang akan terkejut pada PRU nanti.
“Sekarang orang dah mula banding kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan menyatakan mereka tak meyakinkan untuk diberi peluang kali kedua dan saya juga percaya mereka tidak akan beri peluang kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Saya yakin rakyat akan beri peluang kepada kita kalau mereka yakin kita boleh menjaga mereka,” katanya dalam ucapan pembukaan Konvensyen BN Selangor di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Selangor Tan Sri Noh Omar.
Ismail Sabri juga berkata adalah penting untuk semua ahli parti komponen BN menghentikan amalan ‘cah keting’ atau sabotaj jika tidak terpilih sebagai calon pada PRU akan datang serta memahami peranan masing-masing dalam memastikan kemenangan berpihak kepada gabungan politik itu.
“Merajuk, kecewa satu atau dua hari itu saya faham. Tapi tak boleh sabotaj kawan yang bertanding kerana kita kena tahu yang bertanding bukan kita (sebagai individu) tapi BN,” katanya.
Beliau berkata BN harus memastikan kesepakatan sesama ahli dalam parti komponen terus kukuh bagi memenangi hati rakyat sekali gus mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil.
Selain itu, Perdana Menteri berkata adalah penting untuk semua ahli parti komponen BN menjadi ‘lidah’ kepada kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat terutama segala inisiatif yang telah dilakukan untuk rakyat.
Justeru, Ismail Sabri berkata ahli parti komponen BN perlu bijak menjelaskan serta segera menepis sebarang dakwaan yang dibangkitkan oleh pembangkang terutama menerusi media sosial masing-masing bagi memastikan imej kerajaan dan gabungan politik itu tidak terpesong di mata masyarakat.
“PRU dah dekat. Dah tak lama. Kita kena buat kerja seolah-olah PRU adalah esok,” katanya.
Perdana Menteri berkata adalah penting untuk ahli parti komponen BN menginsafi kekalahan pada PRU14 yang telah mengakibatkan mereka tidak dapat membantu rakyat sepenuhnya dengan peruntukan terhad selaku pembangkang.
Beliau berkata rakyat di bawah kerajaan PH mengalami kesusahan apabila banyak bantuan serta projek untuk rakyat ditangguh, dikurang atau dibatalkan.
Ismail Sabri, yang pernah menjadi Pengerusi BN Selangor pada 2018 hingga 2019, juga berkata adalah penting untuk BN Selangor mencari formula untuk merampas kembali negeri itu setelah tewas selama tiga penggal.
“Saya yakin BN Selangor berpengalaman luas di bawah pimpinan Tan Sri Noh Omar dan apabila saya umum pembubaran Parlimen nanti, kita boleh tawan semula Negeri Selangor.
“Tak cukup dengan Selangor, kita perlu kuasai sepenuhnya Kerajaan Persekutuan,” katanya.