KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata selain isu pengangguran, isu yang perlu juga diberikan perhatian serius ialah isu pekerjaan di bawah kelayakan pendidikan atau ‘underemployment’.
Dr Asyraf berkata demikian merujuk kepada perangkaan terbaru yang dikeluarkan Jabatan Statistik Negara setakat Mei 2022, kadar pengangguran dalam negara adalah 3.9% bersamaan 637.7 ribu orang.
Jelas Dr Asyraf terdapat dua jenis ‘underemployment’ iaitu ‘Time-related Underemployment’ dan ‘Skilled-related Underemployment’.
“’Time-related’ bermaksud pekerja yang bekerja kurang dari 30 jam seminggu disebabkan pekerjaan yang tidak cukup. ‘Skilled-related underemployment’ mereka yang terpaksa bekerja di bawah kelayakan pendidikan mereka.
“’Time related underemployment’ setakat 2021 adalah 417 ribu (2.8%) dan ‘Skilled-related underemployment’ setakat 2021 – 285.8 ribu (1.9%),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Tambahnya lagi, fenomena graduan bekerja dalam industri Gig atau sebagai penghantar (p-hailing atau e-hailing) juga salah satu daripada isu yang perlu ditangani.
“Kita harus sedar bahawa pengangguran dan ‘underemployment’ merupakan satu bentuk kerugian kepada negara, ianya berupa pembaziran sumber daya manusia.
“Sekiranya mereka yang menganggur ini berpeluang untuk bekerja, sudah pastinya saiz ekonomi negara akan jauh lebih besar dari sekarang hasil dari pertambahan potensi output dan perkhidmatan yang dapat dihasilkan,” katanya.
Ulasnya lagi, sekiranya ‘underemployment’ dapat dihapuskan dan pekerja yang berkepakaran berpeluang untuk bekerja di dalam pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran, maka mereka akan dapat memberikan sumbangan produktiviti yang jauh lebih besar kepada ekonomi.
“Kelembapan ekonomi dan kejatuhan tingkat pelaburan merupakan punca utama yang menyebabkan tingkat pengangguran dan ‘underemployment’ di kalangan anak muda meningkat.
“Dengan itu, kita perlu mencari idea baru yang dapat membantu dalam memacu pemulihan ekonomi negara pasca COVID ini,” ujarnya.
Oleh kerana itulah katanya, pentingnya strategi penciptaan peluang-peluang pekerjaan yang mesti dirangka secara komprehensif dan holistik.
“Mengambil kira pendekatan ekonomi yang progresif dan berdaya maju untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan, pada masa sama mampu menarik minat pelabur-pelabur berkualiti yang berupaya mencipta pekerjaan berkualiti untuk rakyat.
“Ini termasuklah perencanaan projek-projek mega berdaya maju yang mampu mencetuskan anjakan drastik kepada ekonomi negara,” katanya.
Justeru tegasnya, pelan pemulihan ekonomi negara bukan sahaja bergantung kepada polisi yang mantap, tetapi juga sangat bergantung kepada kestabilan politik agar pelan ekonomi yang dirangka dapat dilaksanakan. – UMNO ONLINE