KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berpandangan pendukung Barisan Nasional (BN) perlu seratus peratus meyakini kepentingan untuk gabungan politik ini kembali dominan.
Katanya, keyakinan itu perlu meliputi bahawa BN adalah satu-satunya gabungan parti politik paling berwibawa, berkebolehan dan berpengalaman untuk mentadbir.
“Sedangkan gabungan politik lain cumalah percaturan politik merebut kuasa dan kedudukan semata-mata.
“Sukar untuk kita meyakinkan pihak lain terhadap BN andai diri sendiri tidak 100 peratus yakin terhadap BN.
“Justeru pendokong BN tidak boleh terkurang keyakinan dengan berkat keyakinan insya-Allah akan menterjemahkan kejayaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Pengerusi BN itu juga malah menambah bahawa BN satu-satunya gabungan politik memiliki asas paling kukuh lagi berkesan untuk mentadbir negara.
Jelas beliau, asasnya yang harmoni, seimbang dan menyeluruh ini juga telah begitu lama terbina sejak penubuhannya.
“Asas tersebut yang berfungsi sebagai struktur kepada kestabilan dan kemakmuran Malaysia selama ini namun angkara pembohongan dan fitnah, asas yang sekian lama memacu pembinaan negara bangsa itu roboh jua.
“Menginsafi peristiwa hitam, menjadi hasrat BN bersama rakyat untuk mendirikan kembali asas kestabilan tanah air dengan membina semula proses negara bangsa dan menjangkau apa yang telah kita ketinggalan sejak 9 Mei 2018.
“Kestabilan juga kunci utama untuk negara mendepani pelbagai cabaran sedia ada dan mendatang termasuk ketidaktentuan ekonomi, krisis kesihatan, konflik geopolitik dan lain-lain yang merungsingkan,” ujar beliau. – UMNO Online