KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, isu Kapal Tempur Pesisir (LCS) kini bertubi-tubi menjadi serangan pemimpin PH yang cuba salahkan semuanya kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Maklumlah katanya, pilihan raya dah nak dekat sedangkan sebenarnya ramai yang berkait yang telah pun menjawab tentang isu ini.
“Kesimpulannya, ada tak benda yang tak sepatutnya berlaku, berlaku dalam isu LCS ini?
“Saya rasa bila membaca laporan PAC ini, kita kena akui memang ada banyak kelemahan. SPRM akan siasat sama ada ini semata-mata kelemahan atau pun ada unsur jenayah. Tapi kita jangan lari dari benda asas.
“Kapal ini ada. Bukan tidak ada. Memang sedang dibina. Tetapi lewat. Tak payah la kita kata seolah-olah langsung tidak ada dan benda tu hilang. Kedua adalah: Pakatan Harapan yang duduk serang kita hari ini. Dia pun adalah sebahagian besar kepada punca kenapa lewat. Sama juga, kenapa Pan Borneo lewat? Nak salahkan BN juga?” bidas beliau.
Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO telah tampil dalam video pendek berdurasi 4.37 min yang merumuskan apa sebenarnya respon kepada dakwaan-dakwaan utama PH.
Beliau menerangkan secara berfakta dan memaklumkan berkaitan dakwaan-dakwaan PH.
Dakwaan pertama: enam bilion kena ‘songlap’ dan rasuah
“Kalau ada sebarang rasuah dan penyelewengan, SPRM akan siasat dan tidak ada sesiapa yang boleh lari. Tapi isu dia hari ini adalah kelewatan kenapa lepas dah bayar RM6 bilion, masih belum siap kapal. Bukannya langsung tidak ada pembinaan tetapi kenapa lambat siap. Itu yang kita kena kaji.
Dakwaan kedua: salah pemimpin UMNO
Shahril menjelaskan penglibatan pemimpin UMNO khususnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Tapi sambil mengkaji tu sempat dia nak salahkan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN misalnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebab dia Menteri Pertahanan waktu surat penganugerahan (Letter of Award) diberikan kepada Boustead tahun 2011.
“Tapi itu pun dah pelik, sebab kontrak bersama Boustead ini ditandatangani atau dimeterai tahun 2014. Jadi kalau nak bayar Boustead ke, nak mula pembinaan ke, ada kelewatan ke, semuanya selepas 2014.”
Terangnya, yang beri surat penganugerahan 2011 ialah Ahmad Zahid, berhenti jadi Menteri Pertahanan tahun 2013.
“Jadi takkanlah sebab dia jadi menteri sewaktu surat penganugerahan itu keluar, masalah yang berlaku selepas 2014 salah dia juga?” bidas Shahril.
Dakwaan ketiga: surat anugerah (Letter of Award)
Jelasnya, surat anugerah (Letter of Award) perkara biasa dalam memulakan projek dan ia masih tertakluk kepada kontrak akhir yang ditandatangani iaitu kontrak dimeterai Julai 2014 dan pembinaan bermula Disember 2014.
Dakwaan keempat: Kenapa rasmikan kapal palsu?
“Gambar yang viral adalah ‘Majlis Pelancaran dan Penamaan’ kapal. Kapal LCS pertama ini dinamakan KD Maharaja Lela. Ini perkara biasa. Isteri Mat Sabu (Mohamad Sabu – bekas Menteri Pertahanan PH) pun pernah sempurnakan majlis penamaan kapal lain pada tahun 2019.
“Pada waktu itu kapal tersebut tidak siap sepenuhnya. Lepas majlis penamaan tersebut, kapal kembali ke ‘Dockyard’ untuk meneruskan pembinaan.
“Cuma secara jujurnya adakah kita patut lebih telus pada waktu itu, saya rasa secara peribadi memang patut kita declare awal-awal. Bukannya beri gambaran kapal itu dah siap.”
Dakwaan Kelima: Kenapa Kemajuan hanya 44%
Katanya, soal 2017 sudah tidak berapa relevan kerana kontrak yang dimeterai tahun 2014 meletakkan sasaran bahawa kapal pertama siap dan dihantar ke TLDM tahun 2019.
“Bukan 2017 lagi. Jadi ingat balik, masa 2018 lepas PH ambil alih, Mat Sabu gagal siap reka bentuk punca enam kapal TLDM lewat diterima. Jadi selepas itu mereka bekukan dan lewatkan lagi projek ini tahun 2019. Macam projek lain yang mereka lewatkan. Jadi hujungnya kerana PH, salah BN juga.”
Dakwaan keenam: LCS tak wujud
Tegas Shahril lagi, ini bukanlah berkaitan kapal itu tidak wujud kerana ia sedang dibina.
“Cuma diberhentikan pembinaannya oleh PH, waktu zaman PH memerintah. Kita dah lebih separuh dah nak siap untuk kapal pertama itu.
Dakwaan Ketujuh: Teguran Panglima TLDM
Dalam hal ini katanya, mungkin melibatkan soal perbezaan pandangan antara mantan Panglima TLDM yang waktu itu adalah Pemgerusi Boustead Naval Shipyard dengan Panglima TLDM pada waktu itu.
“Seorang ingin ambil design GOWIND. Seorang lagi ingin ambil design SIGMA. Tak semestinya ada benda yang mencurigakan atau pun ada rasuah dalam hal ini. Yang penting TLDM bersetuju bahawa projek LCS patut diteruskan dan keputusan Kerajaan adalah tepat.”
Soalnya kata beliau kenapa PH bekukan dan menyebabkan aset ketenteraan ini sampai lambat.”
Dakwaan kelapan: Kenapa tak bagi open tender?
Beliau menjelaskan kenapa rundingan secara terus?
Pertama Boustead ini adalah syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebuah GLC. Mereka ada kepakaran membina kapal seperti Littoral Mission Ship (LMS) yang sudah siap dan diberikan kepada TLDM. Bila kita berikan rundingan secara terus kepada Boustead. Yang dapat kelebihan adalah LTAT.
“Cuma tak semestinya semata-mata dia GLC kita kena semua bagi rundingan secara terus. Tapi jangan kita katakan semata-mata tak buat open tender maka kononnya inilah punca segala masalah. Tidak juga. Sebab ini pun kontrak ketenteraan. Tak semua benda yang kita boleh buat open tender,” jelas beliau lagi. – UMNO Online