KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan percaya struktur UMNO serta daya tahan uji pimpinan pelbagai peringkat antara faktor yang menjadikan parti berkenaan umpama ‘magnet’ yang menarik minat untuk parti lain untuk bekerjasama.
Malah menurut beliau kejayaan demi kejayaan yang dicapai selepas tsunami pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu membolehkan UMNO/Barisan Nasional (BN) meneruskan khidmat bakti kepada rakyat.
“Baru mereka sedar bahwa UMNO ini parti akar umbi yang paling kuat dalam negara ini. Malu atau tidak, hendak atau tidak dan berani atau tidak mereka terpaksa mengakui perkara itu. 22 ribu cawangan dicampur dengan Wanita, Pemuda serta Puteri serta bahagian menjadikan struktur UMNO ini cukup kukuh.
“Apabila kukuh dan tidak mudah tumbang daripada tsunami apa pun… dan tsunami terbesar pada PRU-14 saya kira tidak akan ada lagi dan oleh kerana itu mereka terpaksa mengakui kekuatan UMNO dan pimpinan parti juga jenis juga tahan uji.
“Bekas Presiden turun naik mahkamah dan Presiden pun turun naik mahkamah serta beberapa pimpinan lagi turun naik mahkamah atas tuduhan-tuduhan yang dipanggil bermotifkan politik. Tuduhan-tuduhan politik berpilih maka tidak ada antara pemimpin itu yang menyerah kalah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program bual bicara yang bertajuk ‘UMNO Bangkit, Lawan & Menang’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO-Online, di sini, malam tadi. Program kberkenaan dihoskan Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian seterusnya berkata gambaran berkenaan menyerlahkan bahawa pimpinan serta ahli parti lengkap dengan latihan masing-masing.
“Saya kira ‘training’ pimpinan UMNO ini cukup-cukup hebat dan Alhamdulillah kerana dengan kekuatan itu pemimpin kita tidak menyerah kalah dan terus berjuang hingga akhirnya ada lima siri kemenangan. Siri pertama tujuh PRK. Siri kedua daripada satu kerusi yang tinggal ADUN di Sabah jadi menang 14 kerusi ditambah dua lagi yang dilantik menjadikan kita sebahagian utama kerajaan Sabah. Siri ketiga menang di Melaka manakala siri keempat kemenangan besar rakan karib kita di Sarawak.
“Kenapa saya sebut Sarawak… kerana persefahaman antara BN dan GPS menyebabkan GPS menang besar dan bayangkan kalau kita tidak ada persefahaman ada pihak-pihak yang mahu menggunakan logo BN. Katalah kalau kita benarkan mana-mana parti letak logo BN pastinya Sarawak saya kira ada kawasan-kawasan tertentu BN boleh menang tetapi kita tidak buat perkara itu kerana kita menganggap GPS adalah rakan karib BN.
“Siri kelima adalah Johor daripada 19 kerusi kita tawan kerusi yang kalah dan kita menang 40 daripada 56 kerusi. Jadi semua penganalisa politik melihat kekukuhan BN dan kemenangan BN selepas satu dan satu ini menyebabkan kita menjadi magnet yang menarik perhatian orang-orang lain,” tambahnya. – UMNO Online