KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Konvensyen Wanita Barisan Nasioal (BN) Ahad ini bakal mengangkat beberapa resolusi dan pandangan untuk disuarakan bagi mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, kuota 30 peratus wakil wanita sebagai calon dalam PRU antara yang akan terus diperjuangkan dan diharap ianya mendapat pertimbangan pucuk kepimpinan parti pada PRU akan datang.
Ujarnya, perkara berkenaan adalah hasrat wanita yang sekian lama berganding bahu dengan jentera pelbagai peringkat dan terus menerus setia dalam usaha membantu kemenangan parti.
“Kuota 30 peratus yang diperjuangkan selama ini adalah satu manifestasi dan juga satu penghargaan kepada wanita yang merupakan tulang belakang parti dan sewajarnya diterjemahkan sebaiknya.”
Ujarnya, hal ini yang utama akan diberi penekanan berkaitan 30 peratus calon wanita dalam PRU akan diperjuangkan tanpa menafikan peranan pelbagai pihak dalam kepimpinan parti.
“Sememangnya penglibatan dan tanpa kerjasama semua pihak ianya tidak membuahkan hasil kepada parti, namun sebagaimana yang sering diwar-warkan, wanita sebagai tulang belakang kepada UMNO akan terus bersuara dalam soal ini.
“Kita percaya inilah perkara yang diperkatakan oleh wanita seluruh negara. Jika sekiranya menjadi realiti nanti dan benar-benar mencapai kuota sasaran kita iaitu 30 peratus calon wanita, ianya adalah satu pengiktirafan bukan sahaja kepada kami malah kepada wanita seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.
Dilaporkan, Wanita BN akan mengadakan konvensyen Ahad ini sebagai persiapan menuju PRU akan datang.
Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat seterusnya menambah penglibatan wanita dalam politik perlu diperkasakan serta ditingkatkan dan selaras dengan itulah hasrat berkenaan akan sering diperjuangkan dengan sebaiknya.
“Penyertaan wanita dalam politik dan kepimpinan perlu diperkasakan dan inilah masanya untuk memperkasakan lagi penglibatan wanita. Kita tidak mahu hanya sekadar ungkapan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan. ”
“Secara tidak langsung akan menambahkan lagi peranan wanita sebagai pembuat dasar khususnya dalam konteks pembangunan ekonomi negara serta pembangunan modal insan untuk kepentingan agama, bangsa dan negara” ujarnya. – UMNO Online