SEPUTEH, 14 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berpandangan jentera parti perlu menggunakan kekuatan dimiliki sebaiknya untuk menangkis agenda pihak pembangkang yang sentiasa memainkan sentimen kebencian rakyat kepada UMNO/Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, gerak kerja Penerangan perlu fokus kepada isu-isu terkini berserta dengan fakta yang jelas dan mudah dalam memberikan resoon kepada setiap perkara dibangkitkan.
“Memang kita tahu kerja lawan untuk menanam kesangsian dan kadang kala kebencian terhadap UMNO/BN. Itulah antara modal utama mereka terhadap kita dan diyakini mereka mampu mematahkan momentum yang ada pada UMNO dan BN.
“Jadi perkara ini kita sudah jangka tapi isu ini bila datang kita kena cepat jawab, respon dan fikir apa kaedah yang mudah atau paling efektif untuk respon kepada serangan-serangan itu. Macam saya kongsi ada kalanya kita kena lebih kreatif dan lebih moden dalam cara kita untuk mengulas sesuatu isu.
“Kalau dahulu kita cuma tolak segala-galanya kata semuanya palsu sekarang ini kena tahu apa sebenarnya respon kita… katakanlah dalam isu terkini memang ada kelemahan berkaitan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) ini tetapi tidak semestinya itu adalah rasuah terhadap pemimpin UMNO.
“Jadi itu satu contoh yang kita akui ada kelemahan tapi tidak mengatakan bahawa ia seperti mana yang digambarkan oleh lawan jadi contoh macam mana saya sebut tadi cara jawab kena lebih sophisticated dengan keadaan pengundi semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pada pada Bengkel Pemantapan Jentera Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Kompleks Dewan Tun Ghafar Baba di Seputeh, Sabtu.
Turut hadir adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ketua UMNO Bahagian Seputeh merangkap Ketua Penerangan UMNO Negeri, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff serta kepimpinan lain.
Mengulas lanjut berkenaan penganjuran bengkel tersebut Shahril meluahkan penghargaan dengan komitmen pelaksanaannya rentetan daripada Permukiman Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan pada Jun lalu sebagai salah satu langkah untuk menyampaikan perkongsian hingga ke akar umbi untuk mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Bengkel Penerangan Wilayah ini alhamdulillah nampak berjalan dengan lancar, merupakan suatu kesinambungan kepada permukiman yang dilaksanakan oleh Penerangan UMNO Malaysia beberapa minggu yang sudah.
“Beberapa negeri telah pun melaksanakan permukiman di peringkat negeri supaya info dan perkongsian yang dibuat di Kampung Janda Baik itu boleh disampaikan kepada lebih ramai penerima jentera akar umbi.
“Malah isu-isu pun berbeza walaupun kita hanya buat beberapa minggu yang sudah tapi sekarang isunya lain jadi sentiasa kena update perkara-perkara yang perlu kita cakna dan balas dalam soal gerak kerja Penerangan,” ujar beliau. – UMNO Online