JOHOR BAHRU, 18 Ogos – Barisan Nasional (BN) meletakkan sasaran tinggi bagi Johor menjadi penyumbang terbesar kerusi Parlimen ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekali gus mengembalikan negeri sebagai ‘kubu kuat’ gabungan itu.
Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keutamaan gabungan itu kali ini adalah untuk menang dengan sasaran tinggi telah disandarkan pada BN Johor.
“Saya nak sekurang-kurangnya (Johor) memberikan 20 kerusi Parlimen untuk dijadikan sebagai penyumbang utama dalam usaha kita menubuhkan kerajaan BN di peringkat pusat.
“Tugas yang berat untuk Johor, daripada 26 kerusi parlimen, kami mengharapkan Johor dapat menyumbang 20 kerusi daripada 26 kerusi (yang dipertandingkan),” katanya di sini hari ini.
Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian ketika ditanya sama ada konsep kerusi tradisional akan dikekalkan untuk di Johor, sebelum mengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras BN Johor hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad.
Hadir sama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Naib Presiden MIC Datuk M Asojan.
Mohamad Hasan berkata keutamaan BN adalah untuk menang, justeru setiap calon bagi kerusi yang dipertandingkan akan dilihat berdasarkan merit.
“Kita tidak ada satu peraturan mengatakan wajah lama, wajah baharu. Dia (calon) ada jugak pertimbangan di mana wajah lama itu kalau ada, dapat menang. Kalau dia tiada, susah nak menang, pun ada juga keadaannya (begitu).
“Jadi keutamaan kita nak menang, kita tak ada satu dasar yang semua kita nak letak wajah baharu ya, kita tidak ada perkara begitu” kata beliau ketika ditanya mengenai pertimbangan BN dalam meletakkan sama ada calon baharu atau calon lama.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu berkata PRU15 akan menyaksikan BN bekerja sebagai satu pasukan bersepadu.
“Bukannya lagi macam dulu secara bersendirian. Jadi semua akan bersama-sama walaupun tempat itu MCA, MIC tidak bertanding, jentera parti mereka pun perlu digerakkan,” katanya.
Pada PRU14, Pakatan Harapan menang dengan 18 kerusi Parlimen manakala BN hanya lapan kerusi berbanding PRU 13 yang menyaksikan BN menang besar 21 kerusi berbanding lima kerusi yang dimenangi pembangkang.