KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan pembangkang akan sentiasa menghasut fikiran rakyat dengan menimbulkan keresahan, perasaan kurang senang serta kebencian seperti yang dilakukan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Katanya pembangkang akan berusaha selagi boleh bagi mengilustrasikan persepsi kurang baik terhadap Barisan Nasional (BN) dan berusaha ‘mempersepsikan’ mereka sebagai cemerlang.
“Setiap hari semakin banyak kisah dengan pelbagai cerita hasutan baru yang direka cipta sudah mulai timbul.
“Saya tidak pernah jemu untuk sentiasa dan terus mengingatkan kepada semua rakyat Malaysia perlu berhati-hati pada kali ini, perlu ingat tugas lawan BN adalah menghasut. Hari-hari mereka menghasut.
“Tentunya kebisingan politik yang direncanakan mereka ketika ini juga sebahagian daripada anasir menghasut. Politik mereka berteraskan hasutan.
“Semasa jadi pembangkang mereka menghasut, semasa jadi kerajaan masih menghasut dan kembali sebagai pembangkang terus menghasut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Jelas Pengerusi BN itu, bezanya adalah cuma satu iaitu semasa menjadi kerajaan mereka memiliki kuasa dan pengaruh untuk memudahkan kerja-kerja hasutan.
Namun begitu jelas beliau secara ironinya rakyat telah pun merasai kegagalan pentadbiran mereka dan menyedari hasutan yang telah dilakukan.
“Mungkin sebab itu mereka kini menghasut dengan lebih kuat. Justeru, rakyat yang akan mengundi pada PRU-15 yang menjadi sasaran perlu lebih berwaspada apabila didatangi hasutan mereka.
“Pengalaman seharusnya mendewasakan. Kita perlu mengerti cara mereka memanipulasi sesuatu isu untuk menyemai kebencian.Ambillah iktibar natijah hasutan mereka kepada rakyat dan negara selepas PRU-14.
“Usah diulangi kekhilafan yang pastinya kita tidak berhasrat berulang. Fahamilah BN terus berjuang selepas 9 Mei 2018 kerana sayangkan rakyat dan negara. Terlalu banyak yang baik perlu kita bersama kembalikan pada PRU-15,” ujar beliau. – UMNO Online