AYER KEROH, 22 Ogos – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan 10 negeri yang dilawatinya telah siap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menurut Timbalan Presiden UMNO, walaupun Melaka baharu selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) namun persiapan jentera harus dipertingkatkan lagi.
“Saya melihat kesemua negeri yang dilawatinya telah bersiap siaga dan perkara-perkara yang lain perlu dipertingkatkan lagi dan ianya nampak jelas persiapan di Melaka ini hampir siap kerana baharu selesai PRN dan jentera masih lagi berkerja untuk menghadapi PRU-15.
“UMNO akan mengatasi kelemahan-kelemahan yang ada dan terus memperkasakan kekuatan yang kita ada di kawasan masing-masing. Bagi negeri-negeri lain persiapan menghadapi pilihan raya cukup bagus tetapi ada juga negeri-negeri yang perlu memperkemaskinikan jentera mereka khususnya menghadapi jumlah pengundi baharu yang begitu ramai yang didaftarkan secara automatik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Di negeri-negeri ini menghadapi tentangan jentera yang mana telah membuat pengubahsuaian maka mengkaji sikap harus dibuat bersama untuk kita pastikan kajian sikap dengan kelebihan tepatan yang tinggi tambahan pula kajian sikap ini banyak dibuat sebelum PRN Melaka, ” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di MITC, di sini pada Ahad. Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Rantau) menjelaskan terdapat ramai yang akan menjadi peramal-peramal politik apabila menjelang PRU-15.
“Kita ini pengamal politik bukannya peramal politik. Pengamal ini yang sebenarnya tahu berbanding peramal,” tegasnya. – UMNO Online