KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan mempersoal penarikan balik surat oleh pihak pendakwaan yang dihantar kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah agar mengutamakan perbicaraan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, penjelasan timbalan pendakwa raya bahawa surat tersebut sudah ditarik balik telah mengesahkan kesahihan surat asal dan menimbulkan lebih banyak tanda tanya.
“Kenapa surat asal itu dikeluarkan bagi pihak Peguam Negara untuk mempercepat kes Presiden UMNO? Jika sebelum ini pemimpin UMNO dituduh menggunakan taktik melengahkan kes mereka, adakah ini pula taktik pihak pendakwa untuk mempercepat kes?
“Kita boleh terima hujah mahkamah ada hak untuk menetapkan jadual prosiding dan sebagainya, kerana mahkamah badan bebas. Tapi mengapa pendakwa pula yang boleh mempengaruhi jadual?
“Rungutan ini sama sekali tidak bermakna UMNO mahu mencampuri urusan mahkamah atau minta sesiapa dibebaskan. Tetapi ini soal asas kenapa Pejabat Peguam Negara yang juga pendakwa raya boleh minta sesuatu kes dipercepat sewenang-wenangnya?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Naib Pergerakan Pemuda UMNO itu juga malah berkata ini memperkukuh perjuangan UMNO/Barisan Nasional sepanjang penggal ini, iaitu perlu ada pengasingan peranan antara Peguam Negara dan pendakwa raya.
“Ini sudah disuarakan oleh UMNO semenjak beberapa tahun dahulu, dan juga diminta oleh Majlis Peguam serta Manifesto Pakatan Harapan sebelum PRU14 (yang tidak dilaksanakan).
“Kuasa Peguam Negara mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Peguam Negara yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.
“Kerana itu panggilan agar pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah wajar dan harus dilakukan. Maka seharusnya semua pihak tidak mempersoalkan motif UMNO meminta perkara sama,” ujar beliau. – UMNO Online