PUTRAJAYA, 1 Sept – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan rakyat untuk sentiasa mengutamakan kestabilan dan kemakmuran dengan memastikan memilih parti yang benar-benar dapat menjamin masa hadapan negara.
Kerana itu katanya yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, rakyat khususnya pengundi perlu benar-benar tahu bagi memilih parti yang bakal membentuk kerajaan malah membuat perbandingan antara parti-parti yang pernah mentadbir negara.
“Kerana itu nilailah sendiri bagaimana dengan parti-parti yang ada sekarang ini, bandingkan juga sama ada Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir 22 bulan, Perikatan Nasional (PN) yang caca marba atau Barisan Nasional (BN) yang mempunyai bukti nyata sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa Program Jalinan Rakyat Merdeka Putrajaya yang berlangsung di sini semalam.
Katanya, keamanan dan kesejahteraan negara perlu disemai dan dijaga oleh setiap individu dengan kesepaduan menolak tindakan yang tidak bertanggungjawab termasuklah hasad fitnah dan memburukkan pemimpin.
“Kita duduk dengan harmoni tak kira kaum maka janganlah kita saling bercakaran, buruk-memburukkan, adu domba dan percaya dengan macam-macam fitnah atau manipulasi yang dimainkan oleh pihak tertentu.
“Ambillah iktibar dari negara jiran apabila keamanan tidak ada maka mereka saling bercakaran hingga berbunuhan. Lihat bagaimana yang berlaku di Myanmar apabila hari ini Rohingya dihalau, dibunuh dan dinafikan hak untuk tinggal dalam negara mereka.
“Kita tak mahu hal itu berlaku kepada anak-anak kita dan kita hari ini bertanggungjawab pastikan bahawa keamanan dan kemakmuran itu akan dapat dikecap melalui kestabilan kerajaan yang tentunya ditawarkan oleh BN setiap masa,” katanya lagi.
Sebelum itu beliau memeriahkan sambutan kemerdekaan Putrajaya dengan menyalurkan agihan sejumlah 10,600 kampit beras dan daging kepada para penduduk Putrajaya. – UMNO Online