KUALA LUMPUR, 2 Sept – Pengorbanan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh disia-siakan dan semangatnya yang jitu perlulah diteruskan dalam perjuangan UMNO/Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebagai kaedah untuk tidak mensia-siakan pengorbanan bekas Perdana Menteri itu, adalah penting untuk UMNO/BN menang besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.
“Solidariti itu antara lain ialah kita bersama dalam susah dan senang, bersama dalam ceria dan duka. Dalam isu terkini, kita berdukacita terhadap apa yang berlaku kepada bekas Presiden, bekas Perdana Menteri, penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak.
“Kita berdukacita kerana pada pandangan kita, beliau tidak diberi proses keadilan yang sewajarnya. Oleh itu, semangat ‘Bossku’ perlu diteruskan dalam perjuangan UMNO/BN. Jangan kita sia-siakan pengorbanan beliau masuk dalam penjara.
“Maka, sebagai kaedah untuk kita tidak mensia-siakan pengorbanan beliau, adalah penting untuk kita memastikan UMNO/BN menang besar pada PRU ke-15,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Bersama UMNO Bahagian Negeri Pahang di Kuantan baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian itu berkata, Sesi Libat Urus bersama UMNO Bahagian negeri-negeri ini memberi peluang kepada setiap bahagian untuk melontarkan cadangan serta menerima komen yang membina daripada panel ibu pejabat.
“Saya telah pergi ke 12 negeri untuk Sesi Libat Urus ini. Hanya tinggal sebuah negeri sahaja lagi iaitu Sabah. Pada pandangan saya, proses yang dilakukan dalam sesi ini memberikan satu peluang kepada sepuluh pimpinan utama bahagian untuk menyatakan apa sahaja dan panel daripada ibu pejabat akan memberikan komen serta cadangan yang membina.
“Ini adalah bagi memastikan satu tempat yang kalah kita boleh menangkan, satu tempat yang sudah menang kita tambah majoriti dan satu tempat yang susah nak menang, kita kurangkan kekalahan.
“Jadi, ia adalah satu proses yang sangat baik. Kita tidak buat sesi ini pada PRU ke-14, maka kita buat pada PRU-15 ini. Mudah-mudahan dengan kaedah yang begitu detail terhadap usaha kita ini akan membuahkan hasil yang baik iaitu kemenangan kepada UMNO/BN,” katanya lagi. – UMNO Online